BERA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau lebih selesa untuk berdiam diri apabila ditanya mengenai sama ada pemilihan UMNO atau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan terlebih dahulu, walaupun beliau selaku Perdana Menteri boleh memikirkan tarikh sesuai untuk membubarkan Parlimen.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata isu tersebut telah mendapat pelbagai pandangan dalam kalangan ahli, mengenai yang mana perlu didahulukan.

"Bagaimanapun, ini (bubar Parlimen) bukan hak mutlak Perdana Menteri, kerana mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

"Jangan kita mendahului kuasa Seri Paduka dan jangan kita mendahului membuat kenyataan dalam perkara bidang kuasa Seri Paduka," katanya semasa menggulung perbahasan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di sini semalam.

Sementara itu beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera berkata UMNO perlu membuat keputusan mengenai kerjasama parti itu dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN), supaya akar umbi tidak keliru.

Perdana Menteri berkata keputusan itu wajar diputuskan, sama ada menerusi Mesyuarat Tertinggi (MT) atau pada Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung pada Januari hadapan.

"Kerjasama UMNO dan Pas melalui MN belum ditolak, kerana tiada keputusan yang mengatakan kita kena putuskan hubungan sama ada dari MT, manakala perhimpunan agung masih belum berlangsung... bermaksud belum lagi ada keputusan untuk 'reverse' keputusan yang lepas (setuju bekerjasama).

"Keputusan itu masih 'stand', maknanya kita perlu kurangkan kenyataan tentang Pas. Kena ada keputusan yang jelas, kerana sekarang ada yang 'yes', ada 'no' (dengan kerjasama itu)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Ismail Sabri berpandangan, setakat ini MN masih wujud walaupun sudah lama tidak bermesyuarat, dan beliau berharap pertemuan kedua-dua pihak dapat diadakan segera.

Ketiadaan pendirian itu, juga menurut Ismail Sabri menyebabkan terdapat pimpinan UMNO negeri seperti Selangor membuat kenyataan mahu bekerjasama dengan Pas manakala di Terengganu, mereka menyatakan mahu menamatkan kerjasama tersebut.

"Kenyataan Selangor mahu meneruskan kerjasama tak salah, kerana ia mengikut perhimpunan yang lepas. UMNO Bera juga akan meneruskan kerjasama dengan Pas dan saya percaya Pahang juga terus akur dengan (keputusan) perhimpunan itu.

"Saya berpandangan kena beri kelonggaran di negeri untuk buat keputusan yang sesuai dengan negeri masing-masing. Terengganu berbeza dari Pahang dan apa yang sesuai di sini tidak boleh dipaksa di Selangor," katanya.

Berhubung persidangan hari ini, Ismail Sabri berkata UMNO Bera meluluskan usul menyokong beliau untuk terus memimpin negara sehingga tamat penggal pada tahun 2023, bagi memberi ruang kepada beliau menstabilkan politik, meredakan situasi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

-- BERNAMA