KUALA TERENGGANU: DAP Terengganu berhasrat menampilkan calon tunggal untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) negeri itu bagi mewakili kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar.

Pengerusinya, Ng Chai Hin berkata, pihaknya optimis calon yang akan diketengahkan itu mempunyai latar belakang baik sekali gus memenuhi kriteria diinginkan pengundi di DUN berkenaan.

"Kita bersedia menampilkan calon untuk bertanding pada PRU15 bagi DUN Bandar dan individu akan diketengahkan nanti merupakan anak tempatan, mempunyai latar belakang yang baik serta memahami senario serta kedudukan di kawasan ini.

"Kali ini DAP Terengganu yakin peluang untuk menonjol, berdasarkan kepada perkembangan semasa politik, kita mempunyai kekuatan kerana merupakan sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Menurut Chai Hin, kali terakhir DAP Terengganu menampilkan calon untuk bertanding di kawasan itu ialah pada 2004.

"Tahun 1990 adalah kali pertama kita bertanding di DUN Bandar. Selepas itu kita bertanding atas tiket Bebas pada 2004 kerana tiada ruang untuk bertanding atas tiket DAP disebabkan beberapa beberapa kekangan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjangkakan kerusi DUN Bandar akan menghadapi saingan sengit pada PRU15 yang akan melibatkan pertembungan beberapa penjuru.

"Saya jangkakan akan berlaku saingan sengit di DUN Bandar pada PRU15 kerana banyak parti yang akan mempertaruhkan calon masing-masing bagi kawasan ini.

"Bagaimanapun, kita yakin calon akan ditampilkan nanti adalah yang terbaik dan paling utama mempunyai latar belakang bersih," katanya.

Chai Hin berkata, DUN Bandar mempunyai kira-kira 22,000 pengundi, 34 peratus daripadanya adalah pengundi Cina. - Sinar Harian