KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menamakan beberapa muka baharu dalam saingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang diumum Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Khamis.

Calon-calon muka baharu ini ialah Lidang Disen Stenggeng di Parlimen Mas Gading; Eric Tay Tze Kok (Bandar Kuching) dan ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang di Parlimen Stampin.

GPS turut menamakan Rodiyah Sapiee di Parlimen Batang Sadong; Mohd Shafizan Kepli (Batang Lupar); bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Doris Brodie (Sri Aman); Roy Gingkoi (Lubok Antu) dan Dr Richard Rapu (Betong).

Giendam Jonathan pula akan membawa cabaran GPS di Parlimen Saratok;  Wong Ching Yong (Lanang) dan Pengerusi Majlis Perbanaran Sibu, Clerence Ting (Sibu).

Muka baharu lain ialah Jeffrrey Phang (Miri) dan Edwin Banta (Selangau).

Mereka melengkapi 15 penyandang lain yang akan melaksanakan “Misi 31 GPS” iaitu untuk menawan semua kerusi yang dipertandingkan dalam PRU kali ini.

Turut dicalonkan semula ialah Datuk Willie Mongin di Parlimen Puncak Borneo manakala Datuk Joseph Salang Gandum bertanding semula untuk merebut kerusi Parlimen Julau, yang pernah dikuasainya sebelum ini, manakala Adun Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii bertanding untuk kali kedua di Parlimen Sarikei.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pula akan berpindah kawasan ke Parlimen Santubong, bagi menggantikan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut tidak dicalonkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat.

PRU kali ini juga menyaksikan GPS mencipta sejarah apabila mencalonkan semula Datuk Seri Richard Riot Jaem, 71, yang akan bertanding untuk mempertahankan kerusinya untuk kali kelapan – sekali gus mencipta sejarah sebagai ahli parlimen paling lama berkhidmat di Sarawak – sejak 1990.