KUALA LUMPUR: Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan rundingan dengan Perikatan Nasional (PN) sedang berjalan untuk menentukan bentuk kerjasama termasuk kemungkinan memastikan calon mereka tidak bertindih.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu berharap rundingan tersebut dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua hari dari sekarang.

Ketika ini Dr Mahathir berkata, terdapat beberapa ‘masalah’ yang harus diselesaikan dan antara isi rundingan ialah memastikan tiada pertembungan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya terpaksa menjelaskan di sini rundingan dengan Perikatan Nasional masih berjalan kerana ada ‘masalah’ sedikit yang belum kita putuskan.

“Dan kalau mereka dan kita bersetuju mengadakan apa jenis kerjasama pun, kita tentulah sesuaikan calon-calon itu supaya tidak ada bertindih antara calon-calon GTA dengan Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman lapan calon awal GTA yang akan bertanding pada PRU15.

Selain Dr Mahathir yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi, turut diumumkan ialah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Titiwangsa), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Datin Che Asmah Ibrahim (Sepang), Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah), Harumaini Omar (Hulu Selangor) dan Mohd Shaid Rosli (Kuala Selangor).

Ditanya mengenai perkembangan berhubung kemungkinan kerjasama GTA dengan Pakatan Harapan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, Dr Mahathir berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas mereka.

“Kami masih menunggu respons mereka. Saya dengan jelas sebelum ini berkata, saya bersedia bertemu sesiapa sahaja kecuali UMNO. Tetapi mereka harus memberi maklum balas positif.

“PH hali ini bukan PH yang bertanding pada PRU14. Kerana ketika itu mereka ada empat parti (PKR, Bersatu, DAP dan Amanah) tetapi Bersatu sudah merosakkannya. Jadi sekarang PH ada tiga parti.

"Bagaimana mereka mahu menggantikan kehilangan akibat tindakan Bersatu, itu terpulang kepada mereka,” katanya lagi.