KOTA KINABALU: Calon Parti Warisan (Warisan) Parlimen P173 Putatan, Ahmad Mohd Said mendakwa masalah banjir di kawasan parlimen tersebut hanya memerlukan kos berjumlah RM100,000 untuk diselesaikan.

Beliau yang berpengalaman sebagai jurutera awam berkata, jumlah berkenaan meliputi kos pembelian 10 buah pam air automatik bagi 10 buah kampung titik panas banjir.

"Kita pasang 10 pam di 10 buah kampung. Dalam masa satu bulan. Senang sahaja. Saya seorang jurutera awam, saya tahu.

"Murah lagi. RM100,000 sahaja boleh selesai masalah itu.

"Kalau ada hujan, air bertakung di sana automatik pam hidup dia terus automatik pam ke sebelah parit sebelahlah", ujarnya ketika ditemui pada Isnin di sini.

Menjelaskan rasional di sebalik idea itu, Ahmad menjelaskan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dilaksanakan di Putatan sebelum ini menyebabkan kejadian banjir lebih teruk akibat pembinaan tebing sungai, menyebabkan air banjir bertakung di beberapa kampung..

"RTB patutnya mengawal kebanjiran. Supaya kawasan ini tidak banjir.

"Tapi, hakikatnya apa yang berlaku setelah mereka membuat RTB kebanjiran pula yang berlaku. Di tepi-tepi bukan lagi sungai.

"Dahulu asalnya sungai tetapi selepas dibuat simen jadi longkang sudah namanya", jelas Ahmad.

Mengulas lanjut Ahmad menjelaskan pam air berkenaan digunakan bagi menyedut keluar air banjir yang terhalang akibat pembinaan tebing sungai di kawasan kampung sekitar Putatan.

"Apabila cuaca kemarau, pam itu tidak akan dihidupkan. Ia hanya dihidupkan ketika air sudah mula bertakung maka pam air akan berfungsi ketika itu.

"Jadi dengan itu, banjir tidak akan berlaku", tambah Ahmad.

Ahmad Mohd Said mewakili Warisan pada PRU15 turut bersaing dengan Awang Husaini Sahari (PH), Shahelmey Yahya (BN), dan Poyne Tudus (Pejuang)