LARKIN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad tidak menolak dirinya antara dalam senarai sebagai calon yang bertanding di luar kawasan.

Hasni yang juga merupakan Ahli Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata, perkara itu tidak menumpukan seseorang individu malah mengambil kira calon yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Saya tak tolak kemungkinan itu (bertanding luar kawasan) kerana saya juga dalam pertimbangan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) jika tersenarai selain daripada kawasan saya.

“Ini juga untuk ketengahkan potensi serta masa depan politik di negeri Johor dalam kita menyusun strategi untuk tawan sekurang-kurangnya 16 hingga 17 kerusi pada PRU15,” katanya selepas hadir merasmikan pembukaan cawangan ke-10 Al Ikhlas Gajet di Larkin pada Sabtu.

Ditanya mengenai kerusi yang bakal beliau tandingi, Hasni berkata, perkara itu adalah di bawah keputusan pucuk pimpinan parti.

“Itu pucuk pimpinan yang tentukan bertanding di mana.

“Saya sendiri kalau dah diberi peluang untuk bertanding pun dah kira bagus dah tu,” jawabnya lagi.

Hasni dalam masa yang sama berkata, seluruh jentera BN Johor kini sedang digerakkan bagi memastikan aktiviti berkempen berjalan lancar sebaik sahaja selepas proses penamaan calon.

Kedudukan Hasni dilihat masih menjadi teka-teki berhubung kerusi yang bakal beliau berentap pada PRU15.

Bagaimanapun, wujud cakap-cakap sebelum ini yang menyatakan bahawa bekas Menteri Besar Johor itu juga bakal membuat kemunculan semula di Pontian.

Ketika ini, kerusi berkenaan bagaimanapun disandang oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian.