AMPANG : Isu pentadbiran Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah diselesaikan dalam kunjungan dua pemimpinnya, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Larry Sng Wei Shien ke Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Putrajaya pada pagi tadi, ujar parti itu dalam satu kenyataan.

Hasil penyelesaian itu, kepimpinan PBM bersetuju untuk mengumumkan senarai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) parti itu dalam masa terdekat.

Kata kenyataan itu lagi, Larry Sng akan menandatangani watikah calon yang bertanding.

"Pimpinan tertinggi Parti Bangsa Malaysia dengan semangat pemuafakatan telah berjaya memurnikan hal-hal berbangkit dan akan menumpukan usaha bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15.

"Di dalam pertemuan ini kepimpinan Parti Bangsa Malaysia bersetuju memutuskan senarai nama calon PRU15 mewakili Parti Bangsa Malaysia yang akan diumumkan dalam masa terdekat dan juga ketetapan Datuk Larry Sng akan menandatangani watikah calon-calon yang bertanding," ujar kenyataan itu.

Hal-hal lain berkaitan pentadbiran parti juga akan dibincang dan diselesaikan selepas PRU15.

BACA SEMUA MENGENAI PRU15 DI SINI

Pada 31 Oktober lalu, RoS mengesahkan Larry Sng  masih lagi Presiden PBM berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu.

Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad berkata, berdasarkan rekod Larry masih presiden dan jika ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti tersebut.

Larry Sng sebelum dalam satu kenyataan mengumumkan menggantung Zuraida sebagai ahli parti.

Turut digantung adalah ahli Majlis Tertinggi PBM, iaitu Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na'im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim. 

Zuraida dilapor berkata, bakal bertanding PRU15 di kerusi Parlimen yang disandangnya, Ampang. Beliau juga berkata, PBM tidak akan menyertai BN kerana tidak dapat memenuhi syarat ditetapkan gabungan itu, sebaliknya akan bergerak solo dengan logo PBM. 

Beliau juga menyatakan, akan menyelesaikan isu dalaman PBM sebelum hari penamaan calon, 5 November ini.