PADANG SERAI : Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang M Karupaiya yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, pada Rabu.

Pemergian calon PKR Padang Serai bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu, katanya, bukan sahaja dirasai rakyat di Kedah dan Pulau Pinang, sebaliknya seluruh keluarga PKR khususnya Ahli-Ahli Parlimen yang mengenali beliau secara rapat.

"Mendiang seorang yang sangat komited dan mengekalkan prestasi perkhidmatan yang cemerlang sepanjang penggal lalu menjadi Ahli Parlimen.

"Pemergian beliau amat memberi kesan kepada PKR dan kami juga telah meneliti dan menerusi peraturan pilihan raya, maka tanggungjawab sudah diambil sekretariat dan menghantar notis kepada pengurus pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karupaiya di kediamannya di Lunas, di sini, pada Rabu.

Nurul Izzah turut berharap semua warga Padang Serai bukan sahaja mendoakan pemergian mendiang tetapi turut mendoakan kesejahteraan dan kesabaran keluarga mendiang atas pemergian beliau secara mengejut.

"Mendiang sangat bangga dengan pencalonan beliau untuk kali kedua di Parlimen ini dan ketika lawatan saya ke pejabat beliau baru-baru ini, beliau menyenaraikan pelbagai pihak yang dampinginya, serta dapat membantu rakyat dan bersama-sama dalam perjuangan PKR," tambahnya.

Nurul Izzah turut memberitahu, pada ketika ini, tumpuan akan diteruskan kepada perjalanan PRU15 dan keputusan mengenai kedudukan kerusi mendiang akan diputuskan oleh kepimpinan pusat PKR.

Mendiang Karupaiya, 69, meninggal dunia di Hospital Kulim, di sini, kira-kira pukul 2.27 petang ini.

Berita sedih mengenai pemergian mendiang yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Serai itu disahkan oleh anak perempuan beliau, Dippah Karupaiya ketika dihubungi ASTRO AWANI.

Difahamkan mendiang dimasukkan ke Hospital Kulim awal pagi Isnin lalu selepas mengadu sakit perut.

Pada PRU14,  mendiang Karupaiya menang bergaya dengan majoriti 8,813 undi.

Pada PRU15 Sabtu ini, selain mendiang Karupaiya, kerusi Parlimen Padang Serai turut disertai oleh pesaing lain iaitu calon dari Barisan Nasional, Datuk Sivaraj Chandran, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Amanda AK (calon  Bebas).