KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum memutuskan kerusi Parlimen mana y.ang akan ditandingi beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang disebut-sebut akan berlangsung dalam masa terdekat.

Kata Ketua Pembangkang itu, keputusan itu hanya akan dikongsi beliau apabila sampai masanya kelak.

Namun demikian, Anwar tidak menafikan, penelitian mendalam mengenai kerusi mana yang bakal ditandinginya sedang dilakukan termasuk perbincangan dengan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta pimpinan parti.

"Anda cadang? Secara ikhlas saya bagitau dan Azizah pun tahu saya sedang meneliti kerana rakan-rakan di PD (Port Dickson) minta saya teruskan (khidmat)… Tambun juga menyatakan mereka bersiap sedia dan beberapa kawasan lain,” kata Anwar kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ketika ini, Anwar merupakan penyandang kerusi Parlimen Port Dickson dan beliau juga menerima pelawaan daripada Ketua PKR Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang bersedia memberi laluan kepada pemimpin nombor satu parti itu bertanding pada PRU15.

Anwar, bagaimanapun, tidak mengulas lanjut ketika ditanya bila pengumuman mengenainya akan dibuat oleh beliau, namun secara berseloroh Anwar berkata, akan menghubungi rakan-rakan media bila tiba waktunya.

"Sebaik saya putuskan (nanti) bagi nombor telefon nanti saya akan call (hubungi) anda! Ia juga tertaluk kepada bila agak-agak pilihan raya (PRU15) akan diadakan," seloroh Anwar sambil disambut ketawa oleh petugas media.

Ketika ditanya wartawan bayangan tarikh sesuai dan munasabah untuk PRU15 diadakan pula, kata Anwar, secara peribadi beliau belum pasti.

"Dari renungan saya, jawabnya belum pasti. Tapi dari segi Keadilan (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) kita memangnya bersiap untuk menghadapi pilihan raya pada bulan November," jelas Anwar lagi.