CHUKAI: Bakal calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Said bersedia untuk berkhidmat jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana sudah memahami keperluan masyarakat di kawasan itu.

Bagi Ahmad, Kemaman sangat dekat di hatinya kerana beliau dilahirkan dan membesar di kawasan Parlimen itu, sekali gus ia menjadi nilai tambah baginya setelah dipilih kepimpinan BN untuk bertanding di situ.

"Kita sedia maklum bahawa kita kalah pilihan raya yang lepas (PRU14), bukan kerana UMNO tidak kuat tetapi apabila ada perpecahan yang membawa (sebahagian ahli) UMNO lari kepada parti ketiga dan oleh kerana pelbagai janji dan sebagainya, akhirnya kita tewas.

"Tetapi saya yakin dan percaya bahawa Kemaman memerlukan khidmat daripada saya. Sebelum ini saya berkhidmat untuk Kijal (kerusi Dewan Undangan Negeri) dan insya-Allah saya boleh beri tumpuan kepada Parlimen Kemaman," katanya di kediamannya di Telok Kalong dekat sini, pada Rabu.

Beliau yang tiba di pekarangan kediamannya sekitar 4.30 petang tadi kelihatan sebak apabila disambut meriah oleh lebih 200 penyokong termasuk penduduk kampung dan anggota BN yang berpakaian biru sebagai tanda sokongan.

Ahmad yang juga Pengerusi BN Terengganu berkata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga merupakan antara calon dicadangkan bagi kerusi itu, namun terpaksa menarik diri daripada bertanding susulan faktor kesihatan.

Katanya, beliau sebelum ini pernah ditawarkan untuk bertanding kerusi Parlimen itu pada 1995 oleh Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang pada ketika itu Menteri Besar Terengganu.

Sementara itu, mengenai pencalonan bagi Parlimen Kuala Nerus, beliau berkata perbincangan telah diadakan bersama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya tidak boleh beri jawapan tetapi jalan keluarnya ada," katanya.

Pada Selasa, Ahmad Zahid mengumumkan bekas Menteri Besar Terengganu itu sebagai calon yang akan bertanding pada PRU15 bagi merampas kerusi Parlimen Kemaman.

Kerusi Parlimen itu disandang oleh Alias Abd Hamid (PAS) yang memenanginya dengan majoriti 2,163 undi, menewaskan Ahmad Shabery Cheek (BN) dan Huzaifah Md Suhaimi (PKR) pada pilihan raya umum sebelum ini.

-- BERNAMA