BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga calon P.090 Parlimen Bera berkata pendekatan kempen sihat dan berhemah menjadi keutamaanya sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, setiap calon yang bertanding daripada mana-mana parti politik di kawasan itu perlu mengekalkan keharmonian keluarga Bera.

"Saya beritahu dia (Abas Awang) sebelum ini kita dah kenal baik pun, Bera pun bukan ada 5 juta penduduk, sesetengah tu sama sekolah, jadi saya kata kita ada dua minggu sahaja untuk berkempen.

"Jangan selepas dua minggu kita (jadi) tak baik kerana serangan peribadi, kempen melampau dan sebagainya," jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, setiap parti politik bebas untuk berkempen mengikut cara masing-masing.

Namun, katanya mereka perlu mengelak daripada serangan peribadi serta politik melampau yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Selepas 20 November kita akan hidup seperti biasa, saya kata jangan jadikan dua minggu ini untuk berpecah-pecah, jadi saya kata kita kekalkan semangat keharmonian kekeluargaan di Bera ini.. kita teruskan.

"Kempen lah, tapi jangan attack atau serang peribadi sehingga menimbulkan kecil hati, dendam berpanjangan.

"Kita jual produk masing-masing, berilah janji masing-masing, terserah kepada rakyat (untuk) menerimanya," ujarnya lagi.

Terdahulu, Ismail Sabri diiringi calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N37 Guai, Datuk Sabariah Saidin memulakan kempen hari pertamanya dengan mengunjungi Pasar Sehari Kerayong di sini pada pagi Ahad.

Ketika berkempen, beliau terserempak dengan calon saingannya daripada Pakatan Harapan (PH), Abas Awang.

Kedua-dua calon itu dilihat bertegur sapa beberapa minit sebelum meneruskan program masing-masing.

Parlimen P.090 Bera menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Ismail Sabri daripada BN menentang calon PH, Abas Awang dan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Asmawi Harun.