PADANG TERAP: Kesemua keputusan melibatkan UMNO termasuk kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN), perlu melalui struktur yang sedia ada di dalam parti berkenaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menjelaskan sebarang ketetapan atau kata putus yang dibuat adalah merupakan hasil perbincangan di peringkat Biro Politik serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Tambahnya, beliau turut dimaklumkan perbincangan mengenai kerjasama parti itu dengan Pas juga akan diadakan dalam masa terdekat namun tarikh perbincangan itu belum lagi diputuskan

Mahdzir turut menjelaskan bahawa 'Top 5' UMNO melibatkan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden masih belum mengadakan perbincangan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Dia parti (UMNO), ini semua keputusan parti (perlu) melalui proses struktur dalam parti, dalam parti ada Majlis Kerja Tertinggi (MKT), sebelum MKT itu ada Biro Politik dan Majlis Tertinggi akan buat sebarang keputusan tentang apa jua keputusan berkaitan parti, keputusan (mengenai kerjasama Pas itu).

"(Saya rasa akan) dibuat Majlis Tertinggi, dalam masa terdekat, (mengenai tarikh PRU15), (Top 5 UMNO) belum (lagi bincang)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak Ladang Ayam Felcra di Kampung Kubang Palas, Padang Terap pada Jumaat.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa cadangan agar perbincangan dijalankan di antara UMNO dan Pas mengenai 27 kerusi kritikal menjelang PRU15 akan datang perlu diberi perhatian.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO, menjelaskan, cadangan terbabit perlu dikaji secara rasmi oleh UMNO dan sebarang keputusan hanya akan dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sekiranya mereka bersetuju.