PADANG TERAP: Manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) sebagai tawaran untuk rakyat Malaysia adalah suatu yang praktikal dan mampu dilaksanakan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menegaskan ia amat berbeza sekali sekiranya dibandingkan dengan 'janji bulan bintang' Pakatan Harapan (PH) ketika PRU14 yang tidak mampu dilaksanakan.

Katanya, PH kali ini cuba mengubah janji yang ditawarkan kepada sesuatu yang lebih realistik namun ia tindakan yang sudah tidak dapat diyakini rakyat akibat kepercayaan mereka sudah terhakis selepas PRU lepas.

"Kita mengambil sikap bahawa apa yang kita hendak persembahkan kepada rakyat secara menyeluruh, dan kita pergi kepada perkara praktikal, kita tak mahu janjikan bulan dan bintang. PH pada 2018 bawa manifesto bulan dan bintang, sekarang dia hendak ulang semula, bulan sahaja bintang tiada.

"Saya ingat orang pun tidak mahu dah seperti itu, dia nak turunkan dari bulan bintang jadi awan. Awan pun orang takmau, sebab you dah janji you tak boleh buat. Jadi kita pergi kepada praktikal, dalam pemikiran rakyat, benda yang boleh digapai, cukup tak payah merepek," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Khianat bendera parti lawan, Polis Melaka buka kertas siasatan

SEMAK CALON PRU15 DI SINI


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda, di Kampung Baru Padang Sanai, Padang Terap pada Selasa.

Dalam pada itu, Mahdzir turut memaklumkan bahawa isu membabitkan pekebun kecil sudah lama disuarakan BN terutama membabitkan harga lantai getah dan ia bukan retorik sempena PRU semata-mata.

"Saya difahamkan ada juga parti lain kemukakan perkara berkaitan pekebun kecil, saya ingat isu ini telah diketahui umum bahawa BN telah mempunyai agenda yang lama, harga lantai dulu pun BN yang bawa, sekarang nak bawa sekali lagi mungkin pada harga bersesuai untuk masa ini, kita melihat bahawa pekebun kecil secara menyeluruh," katanya.

Tambahnya lagi, ia termasuk pelan jangka panjang dan jangka pendek seperti bantuan musim tengkujuh selain penubuhan jawatankuasa bagi mencari formula harga lantai getah yang bersesuaian antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.