IPOH: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menegaskan, kerusi Parlimen Tapah adalah milik Pakatan Harapan (PH) dan bukannya parti berkenaan.

Ketua Penerangannya, Luqman Long berkata demikian sebagai menjawab kekeliruan menerusi kenyataan Pengerusi Parti MUDA Perak, Mutalib Uthman bahawa parti itu mencalonkan beliau untuk bertanding di kerusi tersebut.

Luqman berkata, komitmen mereka kini adalah untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi antara MUDA dan PH.

"Berkenaan kerusi Parlimen Tapah, MUDA ingin menyatakan bahawa kerusi ini milik PH, bukan MUDA.

"Sebarang kenyataan yang bercanggah dengan komitmen MUDA-PH ini adalah bukan kenyataan rasmi MUDA.

"Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisya juga telah mengumumkan beberapa lagi jumlah kerusi termasuklah di Sabah pada Isnin 31 Oktober dan di Muar pada Rabu 2 November ini.

"Kerusi rasmi untuk MUDA juga hanya akan diumumkan oleh beliau," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Menurut beliau, sehingga 29 Oktober (semalam), MUDA telah mengumumkan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi tiga kerusi iaitu di Parlimen Kepala Batas, Parlimen Tanjong Karang dan Parlimen Tanjung Piai.

Tegasnya, rundingan MUDA-PH berhubung jumlah kerusi juga telah dimuktamadkan semalam.

Beliau berkata, semua calon MUDA merupakan golongan muda, aktif di dalam politik khidmat serta sentiasa fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untuk Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan MUDA mengumumkan akan mempertaruhkan Pengerusi Muda Perak, Mutalib Uthman untuk bertanding di kerusi Parlimen Tapah pada PRU15 kelak.

Mutalib dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat hasil rundingan kerjasama politik di antara MUDA dan PH.

Keputusan itu juga susulan kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai status kerusi Parlimen Tapah dan Sungai Siput di Perak serta Sembrong di Johor.

"Untuk rekod, Parlimen Tapah merupakan kerusi luar bandar dan adalah kubu kuat Barisan Nasional yang kini disandang oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

"Untuk menyahut seruan, perjuangan ‘MUDA melawan Menteri' sebagaimana di kerusi-kerusi lain yang ditandingi MUDAa, saya, dengan rendah diri akan menjadi calon di Parlimen Tapah ini," kata Mutalib seperti dilaporkan.