TUARAN: Parti Bersatu Sabah (PBS) bersedia merampas semula kerusi Parlimen Tuaran untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Tamparuli ke-36 dan ke-37, dekat sini, hari ini.

Menegaskan bahawa Tamparuli dan jirannya Kiulu merupakan kubu kuat PBS, Ongkili yakin mereka mampu menawan semula Tuaran daripada Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), terutamanya dengan sokongan daripada pengundi di kerusi DUN Sulaman dan Pantai Dalit.

"Tuaran antara kawasan yang kita inginkan. Jentera PBS sudah bersedia dan akan diperkukuhkan lagi dengan penambahan keahlian dan cawangan.

"Parti kita akan terus berkembang, dan dua ADUN kami di Kiulu dan Tamparuli telah berkhidmat dengan baik di peringkat akar umbi. Akar umbi sangat jelas tentang perjuangan parti, justeru akan berikan sokongan berterusan mereka kepada PBS," kata Ongkili, yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu turut menegaskan bahawa GRS, yang didaftarkan secara rasmi pada 18 Mac lepas, juga akan terus memperjuangkan hak dan tuntutan Sabah serta rakyatnya.

Presiden UPKO ialah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran, kerusi yang dimenangi beliau dengan majoriti 7,624 atas tiket Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Penggal Parlimen semasa akan tamat pada Jun 2023 dan PRU15 perlu diadakan menjelang Julai tahun sama.

-- BERNAMA