KUALA LUMPUR: Tiada sebarang rundingan yang dilakukan bersama ahli kepimpinan parti berkenaan penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam gabungan lain untuk membentuk kerajaan.

Kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media pada Isnin, BN akan mengemukan Akuan Bersumpah (SD) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat pada petang ini.

“Bersama dengan saya adalah 26 Ahli Parlimen BN yang hadir daripada 30 ahli. Dua ahli demam, Datuk Jalal (Jalaluddin Alias) dari Parlimen Jelebu dan Datuk Adnan, Ahli Parlimen Kuala Pilah.

“Kami telah membuat ketetapan dan arahan parti yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN adalah merupakan arahan tetap yang wajib diikuti oleh setiap ahli kerana kita bertanding atas tiket BN.

“Selaku Ahli Parlimen yang menandatangan sebarang dokumen terutama Akuan Bersumpah untuk menamakan siapa sahaja sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak sah kerana ia melanggar ketetapan parti serta Akuan Bersumpah yang telah ditandatangani setiap calon calon BN,” katanya.

Jelasnya, tiada sebarang rundingan berkenaan perkara itu melibatkan Ahli-ahli Parlimen BN yang bertanding.

“Jika mana mana pihak keluarkan kenyataan bahawa mana-mana gabungan yang mahu menyokong mana-mana pihak yang memasukkan BN bersama mereka, adalah tidak benar.

“Maka pada hari ini, kami Ahli-ahli Parlimen BN, telah akan menghantar Akuan Bersumpah untuk dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat mengikut tempoh yang telah ditetapkan iaitu pada jam 2 petang ini.

“Maka kita harap Speaker Dewan Rakyat dapat menganjurkan sedikit waktu itu kepada waktu yang agak lebih fleksibel untuk kami kemukakan SD setelah keputusan dibuat,” jelas beliau lagi.