SUNGAI BULOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap visi Khairy Jamaluddin untuk mengubah atau ‘reform’ UMNO adalah sesuatu yang mustahil.

Ketika turun berkempen di Parlimen Sungai Buloh hari ini, Anwar berkata, beliau sendiri yang pernah menjawat jawatan nombor dua dalam parti itu tidak mampu untuk melakukannya.

Bahkan, bekas Timbalan Presiden UMNO itu mengakui, tugas itu bukan sesuatu yang mudah.

Anwar juga menyifatkan janji atau kata-kata untuk ‘reform’ UMNO adalah sesuatu yang sia-sia selagi terdapat kumpulan yang beliau gelar sebagai ‘penyangak’ masih berada dalam parti itu.

“Dia (Khairy) nak reform UMNO. Eh Khairy… ya saya ini (pernah menjadi) Timbalan Presiden UMNO, penyangak tu tak boleh reform. Kalau nak reform hanya orang baik sahaja boleh reform (UMNO).

“Tetapi, kalau sama-sama sakau (curi duit rakyat), nggak bisa pak,” katanya di hadapan 1,000 orang yang menghadiri program Ramah Mesra bersama Anwar Ibrahim di Taman Subang Perdana, di sini hari ini.

Turut hadir ialah calon PH untuk Parlimen Sungai Buloh bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),
Datuk R Ramanan serta penyandang kawasan Parlimen itu selama tiga penggal, Sivarasa Rasiah.

Di awal kempen PRU15, Khairy yang juga calon Barisan Nasional bagi Parlimen Sungai Buloh secara terbuka mengakui, beliau mahu mengetuai dan mengubah UMNO serta menjadi Perdana Menteri di masa akan datang.

Komitmen itu turut diulangi dalam wawancara khasnya bersama stesen radio BFM pagi ini.

Khairy turut memberi masa selama 10 tahun kepada dirinya untuk menjadi ketua kerajaan selepas mengambil kira beliau sudah mempunyai pengalaman mengetuai tiga kementerian sebelum ini.

Pandangan dan kritikan terbukanya kepada pimpinan UMNO itu, dijadikan sebagai senjata kempennya di Sungai Buloh, dalam usaha menarik sokongan penduduk di kawasan yang disifatkan kubu kuat PH itu.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata, Sungai Buloh akan terus menjadi kubu kuat PH.

“Pertama kita tolak rasuah, penyelewengan, dan penyalahgunaan kuasa. Khairy nak reform UMNO silakan, tetapi jangan guna rakyat Sungai Buloh.

“Ini kubu Harapan, jangan ganggu gugat kawasan ini. UMNO, Barisan Nasional, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Perikatan Nasional dan Pas, sila keluar dari Sungai Buloh,” tempelak Anwar lagi.