KUALA LUMPUR: Perubahan struktur sangat diperlukan jika parti politik serius dalam menangani isu kekurangan pemimpin wanita.

Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof. Emerita Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, sayap wanita dalam parti bukan sekadar peraih undi atau pelengkap, sebaliknya untuk dilatih dan bertanding bagi merebut jawatan pemimpin.

"Parti yang ada sayap wanita mesti tanya - sayap wanita itu untuk apa? Sayap puteri untuk apa? Adakah untuk melatih pemimpin masuk mainstream dan jadi calon? Saya tak nampak pun.

"Wanita dan Puteri seolah-olah peraih undi dan pelengkap untuk jaga parti. Itu yang 'kepala' setiap parti nampak, yang peranan wanita bukan untuk dilatih jadi pemimpin atau jadi calon.

"Kenapa ketua wanita, di peringkat bahagian atau exco, tak jadi calon? Kalau ada, kita tak payah bising, secara automatik akan dapat 30 peratus calon wanita," katanya ketika muncul sebagai tetamu program Malaysia Memilih, pada Sabtu.

Jelasnya, pihaknya tidak pernah mengharapkan kuota tanpa merit kerana percaya ramai wanita berkebolehan dan berkaliber yang mahu dan mampu bercakap tentang isu wanita dan masyarakat.

"Ini amat mengecewakan kerana kita sekarang menuju demokrasi matang, tetapi demokrasi matang bukan bermakna banyak parti politik tetapi inclusiveness, termasuk gender inclusivity.

"Tetapi di mana calon wanita untuk wakili suara wanita? Malah wanita juga penting untuk membawa pembaharuan dan perspektif yang berlainan kepada parti dan negara.

"Tetapi saya tidak putus asa saya kerana saya lihat ada parti yang cuba naikkan penyertaan wanita sebagai calon.

"Ada parti yang telah bergerak ke arah meningkatkan calon wanita tetapi tak sampai 30 peratus kerana ada calon tarik diri," ujarnya.

Berdasarkan senarai calon yang diumumkan setakat ini, Barisan Nasional meletakkan 19 calon wanita (11 peratus), Perikatan Nasional (PN) 14 calon wanita (9.3 peratus), manakala Pakatan Harapan (PH) diwakili 40 calon wanita (18 peratus).

DAP muncul sebagai parti yang meletakkan calon wanita paling ramai, iaitu 25 peratus (14 daripada 55) calon yang bertanding.