SIK: Tiap kali tibanya pilihan raya umum (PRU), sekumpulan penyokong Pas Kampung Batu Besar di sini pasti mencuri tumpuan dengan ciptaan replika yang tersendiri bagi menyatakan sokongan terhadap parti itu.

Salah seorang penyokong, Mat Piah Hat, 51, berkata, pada PRU15 kali ini, hasil kreativiti dan ubah suai dari sebuah replika kapal terbang lama, sebuah 'pesawat' Boeing 737 bertemakan Perikatan Nasional (PN) telah siap sejak beberapa hari lalu dan mula menjadi tarikan.

Beliau yang juga merupakan ketua kru pembuatan replika itu berkata, tiap kali PRU, mereka pasti mencari idea baharu bagi mencipta replika sebagai satu kelainan dan sokongan kepada calon yang bertanding.

"Pada PRU13, kami mula buat replika ini secara gotong-royong menggunakan buluh dan kayu.

"Pada PRU14, rangka kapal terbang ini telah dinaik taraf menggunakan besi yang lebih kukuh ditempah khas dari kilang dan ditaja oleh seorang ahli perniagaan, besi itu dibawa balik dan kami bentukkan serta hias dengan bendera serta logo parti.

"Pada PRU15 kali ini, kami hanya baik pulih sikit-sikit dan tukar cat untuk disesuaikan dengan logo PN," jelasnya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar di replika pesawat Boeing di Kampung Batu Besar, Sik, Kedah.
Menurut Mat Piah, orang ramai mulai memenuhi ruang pesawat untuk bergambar dan melawat sejak kempen PRU bermula.

Saiz yang agak besar berukuran 30 meter panjang dan 22 meter lebar itu sudah pasti membuatkan sesiapa sahaja teruja melalui kawasan itu.

Kedudukannya di kawasan itu seolah-olah menunjukkan pesawat itu baharu sahaja 'mendarat' di kampung berkenaan.

"Kami tak kenakan bayaran, semua boleh mai tengok, termasuk penyokong parti lain, sebelum ini ada Cina dan India juga telah melawat, begitu juga dengan kehadiran wartawan luar negara yang sempat merakamkan gambar ketika melalui kawasan ini," katanya.

Jelas Mat Piah, selain menarik lebih ramai pengunjung ke kampung tersebut, kedudukan replika yang terletak di tepi jalan juga memberi kemudahan kepada orang luar.

"Pelawat boleh masuk ke dalam 'kabin' menggunakan tangga yang dilengkapi lampu selain dihiasi lukisan mural," katanya.

Beliau berkata, idea kreatif itu sebenarnya bukan sahaja bertujuan menyatakan sokongan dan semangat kepada Pas, namun memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

Jelasnya, kehadiran orang ramai juga membuka peluang penduduk kampung dan peniaga kecil menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan berdekatan pesawat berkenaan. -Sinar Harian