IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menerima prinsip perjuangan mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, berdasarkan sejarah penubuhannya sejak 22 tahun lalu, parti itu tidak pernah bertanding secara bersendirian pada PRU.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, antara prinsip parti itu ialah Islam agama Persekutuan dan kebebasan beragama, pengiktirafan institusi raja-raja Melayu, hak istimewa Melayu dan hak kebebasan etnik Sabah Sarawak tetapi hak kaum lain terus terbela dan  bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di samping bahasa ibunda boleh dipelajari.

"Prinsip kita juga membanteras rasuah, berusaha untuk mewujudkan tatakelola pemerintahan, practice of good governance. Itu prinsip-prinsipnya. Kalau ada gabungan selain daripada PH sekarang yang menerima prinsip itu, kami nyatakan bahawa Keadilan bersikap terbuka untuk meneroka potensi kerjasama dengan semua pihak.

"Kami mengambil pendekatan terbuka kepada semua tanpa kami menamakan mana-mana pihak yang berminat itu," ujar Saifuddin.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Tambun di Ipoh pada Ahad.

Menurutnya, PKR sudah mengumpul hampir 90 peratus nama calon dari cabang dan negeri untuk dipertimbangkan sebagai calon parti iti pada PRU15.

Senarai itu akan diteliti dan ditapis oleh pucuk pimpinan parti sebelum dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, PKR akan membina kekuatan sendiri tanpa mengharapkan kelebihan daripada kemelut yang berlaku di antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).