KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sah bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) selepas namanya diumumkan oleh Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli.

Beliau yang digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Arau disahkan bakal mempertaruhkan kerusi itu menerusi Majlis Perisytiharan Calon PRU15 Perikatan Nasional Negeri Perlis di Kompleks Pas Kangar pada Khamis.

Bagaimanapun, Shahidan tidak hadir pada majlis tersebut kerana dilaporkan berada di Kuala Terengganu atas jemputan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Terdahulu, BN meletakkan kerusi Parlimen Arau yang telah dikuasai Shahidan sejak beberapa penggal digantikan dengan Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Rozabil yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Politik Shahidan berkata, sebelum dicalonkan, beliau terlebih dahulu menghubungi Shahidan bagi memohon restu dan meminta bantuan beliau bagi memastikan kemenangan kekal menjadi milik BN pada PRU15 ini.

Shahidan yang sudah lebih 30 tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.

Malah, setiap kali PRU sejak 1986, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), Shahidan tidak pernah tewas termasuk ketika berdepan dua Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Haron Din dan Datuk Hashim Jasin iaitu pada 2004 (DUN Tambun Tulang), 2013 (Parlimen Arau) dan 2018 (Parlimen Arau).