ARAU: Adalah sesuatu yang tidak wajar sekiranya rundingan sulit membabitkan UMNO dan PKR bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) seperti didakwa pihak tertentu, benar-benar berlaku, kata Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut beliau, andai benar rundingan itu berlaku, perkara itu sudah semestinya membelakangi pendirian dan keputusan yang telah dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini iaitu 'No Anwar, No DAP'.

Dalam masa sama, beliau mengesahkan hubungan sulit berkenaan tidak berlaku di peringkat UMNO Bahagian Arau.

"Yang (hubungan sulit UMNO-PKR) itu saya tidak tahu, untuk peringkat bahagian (Arau), saya (sahkan) tidak ada dan peringkat (Perhubungan UMNO) negeri (Perlis)... peringkat (UMNO) Pusat juga saya tidak tahu, tetapi kalau ada rundingan sulit, itu tidak wajar berlaku sebab apa dalam Perhimpunan Agung UMNO, (pendirian) yang dibuat sebelum ini, kita telah buat keputusan No Anwar, No DAP," jelas beliau.

Shahidan berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Arau di Dewan Sivik Arau pada Ahad.

Dalam perkembangan berasingan, beliau menzahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi Parlimen Arau berdasarkan sokongan padu yang diterima ketika ini termasuk dalam kalangan pengundi muda.

Mengulas mengenai cadangan UMNO Bahagian Padang Besar berkaitan calon Menteri Besar Perlis dari kalangan wanita, beliau berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam melantik individu tertentu bagi mengisi jawatan berkenaan mengikut hemat baginda.

Pada Jumaat, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa UMNO dan PKR sedang mengadakan rundingan sulit untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, perbincangan itu dilakukan antara pasukan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pasukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwanya, agenda untuk bekerjasama itu adalah bagi meminimumkan pertembungan dalam pilihan raya umum nanti seterusnya mengusahakan pembentukan kerajaan bersama secara bersama antara kedua-dua parti itu.