TASEK GELUGOR: Spekulasi yang mengatakan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad akan bertanding atas tiket Bebas di Parlimen P.042 Tasek Gelugor akhirnya terjawab.

Beliau tidak kelihatan di Pusat Penamaan Calon di Institut Kemahiran MARA (IKM), Seberang Perai Utara, pada hari penamaan calon hari ini.

Pun begitu, sumber memberitahu, beliau dikatakan mengambil borang pencalonan di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tempoh hari, namun tiada bayaran dibuat.

Astro AWANI difahamkan, beliau sudah pun turun ke kawasan melakukan kerja-kerja kebajikan, termasuk mengagih bakul makanan di sekitar Parlimen Tasek Gelugor, sejak setahun yang lalu.

Beliau juga sebelum ini mengesahkan belum menyertai sebarang parti politik namun tidak menolak kemungkinan menyertai mana-mana parti jika ada pihak yang datang 'melamar'.

Dzulkifli yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016, menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed meletak jawatan dua tahun kemudian.

Nama beliau antara yang disebut-sebut sebagai calon bertanding di kerusi itu, selepas penyandangnya Datuk Shabudin Yahaya, yang hanya menang dengan majoriti 81 undi, melompat parti ke Bersatu.

Hari ini, Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan persaingan lima penjuru antara Pakatan Harapan (PH) diwakili Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan, Datuk Muhammad Yussof Mohd Noor (Barisan Nasional), Datuk Wan Saifulrudin Wan Jan (Perikatan Nasional), Dr Abdul Halim Sher Jun (GTA) dan Mohd Akmal Azhar (Amanah).