PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh sebulan dua lagi.

Katanya, apabila tiba masa PRU15 dilaksanakan, rakyat khususnya penjawat awam digesa membuat pilihan bijak.

"Mungkin tak lama lagi, boleh jadi sebulan dua. Apabila sampai masa nanti, buatlah pilihan B iaitu bijaksana," katanya dalam ucapan di hadapan 441 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KSM, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, sejarah membuktikan apabila rakyat membuat pilihan tidak betul pada PRU, penjawat awam menjadi mangsanya.

"Saya harap dan merayu kepada tuan-tuan tinggalkanlah idealogi politik individu serta fikirlah yang terbaik apa kelebihan," katanya.

Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, pilihan terbaik perlu dibuat rakyat bagi menjamin kestabilan politik seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus maju.

"Yang terbaik itu memberikan kestabilan politik yang berterusan untuk anak-anak," katanya.

Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan semua ahli Barisan Nasional (BN) termasuk pemimpin tidak menyerang antara satu sama lain sehingga merugikan parti kerana PRU kini menghampiri.

Sementara itu semasa sidang media, Saravanan berkata, senarai calon parti itu akan diputuskan oleh Presiden, Tan Sri S A Vigneswaran.

"Kita kekal bertanding dengan di sembilan kerusi Parlimen dan 18 Dewan Undangan Negeri (DUN) sepertimana dipertaruhkan dalam PRU14 sebelum ini," katanya.

Ditanya adakah akan berlaku pertukaran kerusi, beliau menyerahkan kepada parti untuk menentukannya.

"Biar parti putuskan, itu peringkat BN," katanya.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.