PETALING JAYA : Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahukan lebih ramai calon wanita bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata, senarai calon wanita yang layak bertanding akan dimuktamadkan dan diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

"Kita akan menyerahkan cadangan-cadangan nama kepada pucuk pimpinan. Besar harapan kita agar pada PRU kali ini akan lebih ramai lagi calon-calon daripada kalangan wanita sebab kalau tengok pada prestasi, ini bukan sahaja berkaitan parti sendiri, tetapi kalau indeks gender di negara ini, kita tengok penglibatan wanita dalam politik masih amat kurang.

"Bidang politik masih jauh berbeza banding negara lain," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Srikandi Bersatu di sini pada Selasa. 

Selain itu katanya, penambahan nama calon juga dilakukan berikutan melihat kepada keadaan politik yang dinamik pada ketika ini.  

Beliau bukan sahaja mahu lebih ramai calon wanita dari Srikandi, malah, dari Perikatan Nasional (PN). 

Malah, ketika ini, calon wanita dilihat berpotensi untuk diletakkan di banyak kawasan. 

"Kalau kita lihat, rata-rata DUN pengundi wanita, dari segi komposisi jantina. Jadi mana-mana kawasan itu , kita belum meletakkan sesuatu kawasan tertentu (untuk PRU) sebab ia masing-masing ada kriteria, ia tak semestinya diletakkan calon di Pantai Timur sahaja, di Titiwangsa pun kita boleh (bertanding), contohnya. 

"Kita akan tengok pada keperluan, dan kita nak ramai (calon) wanita dalam Srikandi dan Perikatan Nasional," ujarnya.