IPOH: Tidak wujud dakwaan kononnya terdapat usaha antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN) pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH itu menegaskan bahawa ia adalah satu penipuan yang cuba ditimbulkan oleh pihak yang merasakan bahawa mereka akan kalah pada PRU kali ini.

“Dia tular mula dia kata saya dengan Datuk Seri Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi). Sekarang kata dengan PN pula, itu semua penipuan.

“Ia adalah penipuan yang dibawa oleh orang yang merasakan mereka akan kalah kalau persaingan itu bersih, justeru mereka akan gunakan (taktik seperti itu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir pada pertandingan persahabatan bola sepak di Padang Meru Permai di sini pada Jumaat.

Ia adalah sebahagian daripada siri kempen PRU15 beliau di Parlimen Tambun yang memasuki hari terakhir sebelum hari pengundian pada esok.

Dalam pada itu, calon PH di kerusi berkenaan itu meminta agar pengundi dan rakyat di negara ini untuk tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan sedemikian.

Sebaliknya Anwar berkata semua pihak harus mendapatkan sumber yang sahih bagi mengesahkan sebarang bentuk berita atau dakwaan.

“Dalam beberapa jam ini banyak fitnah akan dikeluarkan lagi, dan ini menunjukkan orang yang muflis akhlaknya, moralnya, dan mereka terdesak.

“Bagi saya (setiap perkhabaran itu harus) diteliti dan jangan terus percaya sebaliknya rujuk kepada sumber yang sahih, Macam kita belajar hadis,” katanya.

Beliau terdahulu diminta mengulas berkenaan dakwaan wujudnya usaha kerjasama politik antara PH dan PN atas nama ‘Perikatan Harapan’, seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Dokumen lima muka surat itu antaranya mendakwa bahawa gabungan kerjasama itu bersetuju mahu menamakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 sebelum Anwar menggantikannya selepas itu.