IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu hasratnya untuk bertanding di Parlimen Tambun, dijadikan sebagai pertembungan peribadi dengan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ini kerana, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, beliau mempunyai hubungan yang baik dengan bapa Menteri Belia dan Sukan itu, Allahyarham Datuk Azumu Tak.

Bahkan bapa mentua Ahmad Faizal, Datuk Mohammed Radzi Manan yang juga bekas Exco Perak, kata Anwar juga bersahabat dengannya.

Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak mesra dikenali dengan nama singkatannya, Peja.

“Saya tak mahu melayani pertembungan peribadi terutama saya dengan Peja kerana ayah dia Azumu, sahabat baik saya. Mertua dia pun sahabat baik saya yang merupakan tokoh-tokoh yang banyak membantu saya semasa saya dalam UMNO.

“Jadi saya tak mahu nenjadi gelanggang lawan peribadi kerana kita menawarkan sesuatu. Bagi saya, saya pilih Tambun untuk melonjakkan kekuatan di Perak,” kata beliau.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas nengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya di Pusat Operasi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, di sini, hari ini.

Selain melonjakkan kekuatan di Perak, Anwar berkata, hasratnya bertanding di Tambun juga bertujuan untuk menawan Putrajaya.

Tegas beliau, landskap politik negara harus berubah dan Malaysia mempunya keupayaan untuk meningkat jauh lebih baik dan lebih maju lagi.

Pada 20 Oktober lalu, ketika Konvensyen Pakatan Harapan di sini, Anwar mengumumkan akan bertanding di Parlimen Tambun yang kini diwakili Ahmad Faizal.