SHAH ALAM: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengalu-alukan calon heavyweight atau yang berada dalam Kabinet untuk bertanding di kerusi Parlimen di Selangor.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz misalnya disifatkan sebagai salah seorang tokoh muda yang berpotensi untuk diketengahkan dan dijadikan ikon di negeri itu.

"Saya di Selangor memang saya menggalakkan dan beri peluang kepada golongan muda dan kalau boleh juga mereka yang dah ada nama. Macam Tengku Zafrul, dia anak Selangor.

"Saya ingat ada seorang tokoh muda yang bijak dalam segi kewangan dan saya nampak boleh menjadi ikon di negeri Selangor," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan kali ke-36 Kopenas Berhad, di sini pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan Bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, sebanyak 70 peratus calon heavyweight perlu diletakkan di Selangor, sementara 30 peratus lagi adalah muka baharu belia.

Percaturan itu dilihat memberi nilai tambah kepada pemilihan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus meletakkan peluang BN untuk kembali menerajui Selangor.

Khabar angin turut bertiup mendakwa Tengku Zafrul akan bertanding di Parlimen Kuala Selangor selepas beliau dikatakan kerap 'turun padang'.

Tengku Zafrul yang merupakan tokoh perbankan dilantik buat kali pertama sebagai Menteri Kewangan pada 9 Mac 2020 ketika era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Beliau kemudian dilantik kali kedua memegang jawatan sama selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih tampuk pimpinan negara.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, selain Tengku Zafrul, Selangor turut memiliki beberapa lagi tokoh muda yang berkaliber untuk ditampilkan sebagai muka baharu.

"Kita juga ada lagi saudara Shahril Hamdan, itu pun anak muda. Dia pun pakar juga dari segi ekonomi dan dia boleh menjadi penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri.

"Kita juga ada YB Rizam (Ismail), Ketua Pembangkang (Selangor) yang juga orang muda. Itu sebab Selangor ini dalam peringkat pimpinan tertinggi (jumlahnya) yang paling ramai.

"Selain itu, Isham Jalil pun tokoh muda dan baru ini dilantik dalam pimpinan tertinggi (ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO). Kita ada Ketua Puteri dari Selangor, Naib Ketua Pemuda, serta Setiausaha Wanita UMNO Malaysia dari Selangor," ujarnya lagi.

Noh menambah, penglibatan tokoh-tokoh muda dalam arena politik mampu memberikan percambahan dalam idea-idea baharu khususnya untuk pembangunan di Selangor.