KUALA SELANGOR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak menghiraukan sebarang dakwaan parti lawan yang memainkan sentimen beliau sebagai 'calon kayangan' di Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya beliau memberitahu, perkara itu tidak perlu diulas lanjut dan ingin memberi tumpuan untuk membantu kebajikan dan kepentingan rakyat serta membangunkan negara.

"Kita hormati pandangan pihak lawan dan kita hendak (kempen) politik bersih sepanjang pilihan raya ini," katanya di sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon BN Parlimen Kuala Selangor pada Rabu.


Tengku Zafrul memberitahu, setakat ini, semua 87 cawangan di Parlimen Kuala Selangor dan 37 pusat daerah mengundi (PDM) telah selesai dilawati.

"Terima kasih kepada ketua bahagian yang memberi sokongan supaya jentera kita bergerak bersama merampas Kuala Selangor," ujar beliau.

Diminta mengulas mengenai perasaannya dipilih kali pertama sebagai calon, Tengku Zafrul memberitahu, perasaan itu bercampur-baur terutama gementar kerana ia diluar daripada kebiasaan.

Menurut beliau, banyak perkara yang perlu diberi tumpuan terutama dari segi kebajikan rakyat dan pembangunan.

"Ada macam-macam idea dan cadangan yang diberikan dan dikemukakan termasuk cadangan melancarkan manifesto Kuala Selangor lepas penamaan calon nanti," kata beliau.

Tengku Zafrul yang bertanding atas tiket BN akan menentang penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari PH, calon Perikatan Nasional (PN) diwakili calon Pas, Muhammad Rashid Mohd Kassim dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon 5 Nov dan pengundian awal pada 15 November. -Sinar Harian