UMNO akan terima nasib sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika mengadakan PRU15 ketika banjir.

Menurut Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, ia sama seperti peringatan sebelum ini supaya UMNO mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), jika tidak mahu dihukum rakyat.

"Malam ini (Jumaat) UMNO bermesyuarat untuk memaksa Perdana Menteri memanggil pilihan raya walaupun semua ramalan cuaca memberi amaran mengenai bencana banjir yang akan tiba.

"Saya berharap ada satu dua pimpinan UMNO yang berfikir mengenai perasaan dan kepayahan rakyat apabila banjir tiba.

"Saya tidaklah menaruh harapan tinggi kerana kalau UMNO jenis yang fikirkan perasaan rakyat, skandal 1MDB tidak berlaku.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya mengingatkan semua bahawa jika PRU15 diadakan semasa banjir, jangan ambil mudah kemarahan rakyat," katanya dalam kenyataan di akaun Facebook pada Jumaat.



Dalam pada itu, Rafizi berkata, sekiranya UMNO tidak dengar mengenai isu ini maka rakyat akan buang UMNO semasa PRU15.

'Kalau UMNO masih bongkak (kali ini dalam hal memaksa rakyat mengharung banjir untuk mengundi), terpulang kepada rakyat untuk ambil tindakan.

"Tandatangan petisyen agar kerajaan tumpu kepada persediaan banjir, bukan sibuk panggil pilihan raya menerusi bit.ly/TumpuBanjir. Selamatkan nyawa, bukan jawatan politik," jelasnya.

Sementara itu, beliau menjelaskan tiga sebab membantah pilihan raya diadakan semasa banjir.

"Seluruh tumpuan negara terutamanya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sepatutnya ke arah membina persiapan menghadapi banjir dan bukannya berpolitik.

"Kedua, belanja mengadakan PRU adalah sekitar RM1 bilion. Jumlah ini sewajarnya diperuntukkan terlebih dahulu untuk membuat siap siaga membantu rakyat hadapi banjir.

"Ketiga ratusan ribu penjawat awam akan terikat dengan tugasan menganjurkan pilihan raya sedangkan sepatutnya fokus mereka adalah bersiap sedia membantu rakyat dan menguruskan musibah banjir yang akan tiba," jelasnya.

Tambah Rafizi, UMNO melihat banjir sebagai batu loncatan untuk mendapatkan kuasa di Putrajaya.

"Saya bimbang dengan kebajikan ratusan ribu keluarga yang akan terjejas teruk akibat musibah banjir ini.

"Tandatangan petisyen membantah pilihan raya diadakan musim banjir untuk menyampaikan hasrat rakyat membantah cadangan ini," katanya.