PASIR SALAK: Sebut sahaja kerusi Parlimen Pasir Salak, satu nama pasti menjengah fikiran iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tiga penggal di sana, beliau terkenal sebagai antara Ahli Parlimen paling lantang di Dewan Rakyat, tak kurang juga popular kerana kontroversi tercipta.

Namun, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), nama pemimpin ‘otai’ itu tidak tersenarai sekali gus menyaksikan Pasir Salak bakal menerima wakil rakyat baharu.

Bagaimana keyakinan, persediaan dan aspirasi calon-calon muka baharu di kawasan tersebut?

Menariknya di kerusi tersebut, semua calon yang bertanding dikategorikan sebagai calon baharu.

Antara mereka, ada yang pernah merasai bahang pilihan raya dan ada juga yang masih belum namun mereka berkongsi satu persamaan, semuanya tidak pernah bertanding di kerusi Parlimen.

Perebutan kerusi Pasir Salak menyaksikan pertembungan empat calon iaitu Datuk Khairul Azwan Harun (Barisan Nasional), Nik Omar Nik Abdul Aziz (Pakatan Harapan), Jamaludin Yahya (Perikatan Nasional) dan Zairol Hizam Zakaria (Gerakan Tanah Air).



Bagi Jamaluddin, calon Pas mewakili PN di kawasan tersebut, meskipun dirinya mungkin dianggap 'kerdil' namun beliau tetap optimis dengan peluangnya.

"Saya berharap akan menjadi saingan yang kuat kepada pesaing-pesaing saya yang mempunyai nama besar dan juga mempunyai jawatan yang tinggi dalam parti masing-masing.

"Tapi saya sebagai pesaing dalam PN untuk PRU15 ini, akan cuba sedaya upaya untuk mencapai kemenangan. Saya fikir jentera yang kami ada dalam PN, jentera terbaik setakat ini," katanya kepada Astro AWANI.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Jika ramai keluar mengundi, UMNO akan 'hanyut di Sungai Muar'

Berbekalkan kekuatan jentera dari Pas, yang sememangnya utuh sejak dari dulu, Jamaluddin yakin beliau mampu menjadi pesaing hebat kepada calon lain.

Biarpun persaingan merebut kerusi dilihat sengit namun apa yang lebih penting, idea untuk membantu penduduk Pasir Salak seharusnya sudah 'melekat' dalam kepala setiap calon.

Tinggal hanya melaksanakan sebaik sahaja diberi mandat selepas 19 November nanti.

Bagi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Omar, beberapa cadangan sudah bermain di minda seperti mengembangkan sektor pelancongan, menyediakan lokasi aktiviti lasak dan menaik taraf sektor pertanian.

Namun, kemudahan paling asas tetap tidak akan diketepikan.

"Antara kemudahan diminta penduduk ialah kemudahan asas, contohnya yang mereka minta, di sesuatu kawasan ada (lebih dari) satu sahaja mesin ATM (mesin pengeluaran automatik).

"Kalau boleh kita tambahkan lagi. Begitu juga, kalau kita tengok macam mana kita boleh bantu Felcra yang kita lihat di sini cukup besar untuk sawit dan padi. Itu antaranyalah," katanya.

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!

Sementara itu, calon BN, Khairul Azwan pula mahu sektor pendidikan dan pertanian di kawasan itu ditambah baik terutamanya dengan menambah elemen teknologi terbaharu.

Menggunakan istilah "Demokrasi Teknologi Pertanian" dan "Demokrasi Pendidikan", beliau berharap usaha sebegitu mampu meningkatkan lagi produktiviti dan kualiti kedua-dua sektor itu di Pasir Salak.

"Saya guna istilah ini kerana apabila datang ke industri pertanian ini, kita tidak boleh pilih latar belakang orang, tak kira Melayu ke, Cina ke India, mana-mana bangsa termasuk komuniti Orang Asli, semuanya mengusahakan pertanian yang sama, di kawasan saya ini.

"Bila bercakap nak beri teknologi moden untuk membantu produktiviti, takkan nak bagi kepada orang Melayu, Cina sahaja, Orang Asli mesti ada.

"Sebab itu istilah pendemokrasian teknologi pertanian itu mesti dikaji betul-betul termasuk juga industri padi. Saya tak boleh lari dah…dua perkara ini memang saya perjuangkan termasuk juga nelayan-nelayan darat," jelasnya.

PRU15 | Hubungan Tajuddin, Azwan masih baik


Lazimnya, semua calon ada misi, visi dan aspirasi masing-masing namun terserah kepada rakyat untuk menentukan segalanya.

Bakal mendapat Ahli Parlimen baharu selepas tiga penggal, cabaran besar menanti penggantinya namun yang paling utama, nasib rakyat sentiasalah dijaga.