SHAH ALAM: Laluan khas bagi individu positif COVID-19 di tempat mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini tidak dapat dilaksanakan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) dengan pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah melakukan pelbagai peringkat perbincangan mengenainya.

"Kita tidak dapat menyediakan lorong khas untuk pesakit positif COVID-19 selepas mengambil kira kekurangan sumber, ruang dan tenaga kerja.

"Keputusan itu juga selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 Safe Election seperti yang sudah diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah," katanya selepas program Selangkah Ke Menara Gading bersama Ikon Malaysia dan Townhall Ikon Malaysia di Dewan 500, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, di sini, pada Rabu.

Khairy berkata demikian sebagai mengulas kegelisahan pengundi berhubung kemungkinan terpaksa mengundi dengan individu yang dijangkiti virus itu.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, individu positif COVID-19 yang akan mengundi pada PRU15 wajib memakai pelitup muka, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham mengingatkan pengundi yang positif COVID-19 tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk perkhidmatan e-hailing, singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi serta perlu pulang segera selepas selesai mengundi.