KHAIRY Jamaluddin berikrar tiada siapa akan tertinggal di kawasan Parlimen Sungai Buloh sekiranya beliau diberikan mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Isu kos sara hidup, perumahan, akses kesihatan, kesesakan trafik, pengangkutan awam, banjir, dan alam sekitar adalah antara perkara yang akan diberikan penekanan dan cadangan penyelesaian dalam Manifesto Sungai Buloh.

"Sungai Buloh adalah kawasan yang memerlukan tawaran baharu untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh orang bandar.

"Demografi Sungai Buloh hampir mirip dengan komposisi kaum seluruh Malaysia dan saya sentiasa berinspirasi untuk menjadi pemimpin untuk seluruh rakyat Malaysia kerana perjuangan saya adalah untuk semua tidak kira kaum, agama, atau latar belakang.

"Yang penting kita jaga dan membantu semua yang memerlukannya seperti mana usaha kita memberikan vaksin untuk menyelamatkan semua penduduk Malaysia daripada COVID-19," katanya melalui aplikasi akaun TikTok miliknya, pada Khamis.


Bekas Penyandang kerusi Parlimen Rembau itu turut berikrar akan membawa penambahbaikan besar kepada Hospital Sungai Buloh.

Khairy berkata, beliau melihat trend semakin ramai rakyat Malaysia dari kawasan kampung seperti Rembau yang berhijrah ke kawasan bandar dan jelasnya Malaysia sudah mencapai 77 peratus kadar urbanisasi

"Saya tahu di kebanyakan kawasan bandar Barisan Nasional (BN) tidak menjadi pilihan pengundi, tetapi jika BN mahu berubah ke arah yang lebih baik, kita mesti berani untuk menawarkan khidmat kita di kawasan bandar.

"Kita tidak boleh menjadi wakil di kawasan luar bandar, kita perlu menjadi wakil kepada semua Malaysia dan berani untuk tawarkan perkhidmatan kita di bandar.

"Bila kita mewakili orang bandar, polisi kita akan lebih mengambil kira isu yang dihadapi oleh majoriti rakyat Malaysia, iaitu penduduk kawasan-kawasan bandar.

"Ini bukan menidakkan pembangunan di kawasan luar bandar atau pedalaman, itu tetap sangat penting tapi jangan kita anggap semua yang duduk di bandar ini senang," ujarnya.