KUALA LUMPUR: Strategi parti politik dalam menentukan calon bertanding terutamanya di Parlimen bagi PRU15, menjadi tanda tanya sama ada penyandang Ahli Parlimen akan bertanding di kawasan yang sama atau 'melompat' kerusi ke kawasan lain.

Ini kerana terdapat beberapa ahli politik terkenal yang pernah bertukar ke kawasan Parlimen lain dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini antaranya veteran DAP Lim Kit Siang yang pernah bertanding tujuh kerusi Parlimen sejak PRU3 hingga PRU14.

Mengulas perkara itu, penganalisis politik Prof Dr P. Sivamurugan berkata lazimnya perubahan wakil rakyat ke kawasan Parlimen lain adalah antara strategi untuk mengimbangi serta membawa pengaruh mereka dari kawasan asal ke kawasan yang lain.

"Ini dilakukan apabila kerusi asal mereka sudah kuat dan mereka akan bergerak ke kawasan baharu untuk membolehkan bilangan kerusi dimenangi parti mereka bertambah (ke kawasan baharu)," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu kepada Bernama.

Beliau berkata ini sekali gus memperluas penguasaan sesebuah parti dalam Parlimen dengan mempertaruhkan calon diyakini boleh menang yang mempunyai ketokohan dan kepimpinan berdasarkan prestasi khidmat sebagai wakil rakyat di satu kawasan itu.

"Apabila seseorang Ahli Parlimen sudah bertapak dalam tempoh lama di satu kawasan, maka identiti pemimpin itu mungkin boleh mempengaruhi pengundi di kawasan lain kerana prestasi atau sumbangannya di kawasan asal dilihat mampu memberi pendekatan atau strategi untuk parti memperoleh kemenangan," katanya.

Beliau berkata strategi sedemikian pernah diguna pakai oleh DAP dengan menyaksikan beberapa pemimpin tertinggi selain Lim, yang bertukar kawasan pada beberapa pilihan raya umum sebelum ini seperti Liew Chin Tong dari Bukit Bendera ke Kluang pada 2013 (PRU13), kemudian bertukar ke Ayer Hitam pada PRU14.

"(Parti lain) Wan Azizah Wan Ismail (PKR) dari Permatang Pauh ke Pandan, Rashid Hasnon (Bersatu) dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerjak ke Parlimen Batu Pahat malah Tun Dr Mahathir Mohamad dari Kubang Pasu ke Langkawi pada PRU14 (Pengerusi Bersatu pada ketika itu)," katanya.

Ditanya sama ada perlunya peraturan dalam perlembagaan parti untuk tidak membenarkan Ahli Parlimen sering beralih kawasan ditandingi demi kepentingan pengundi, Sivamurugan berpendapat perkara itu tidak wajar dilaksanakan.

"... kerana ini semua kembali kepada matlamat kenapa seseorang itu bertanding dan bagaimana itu juga membolehkan calon luar (bukan anak tempatan) dari sesuatu kawasan lain (untuk bertanding) ke kawasan baharu.

"Sekiranya ada sekatan atau keterbatasan seumpama itu, ia akan merencatkan proses menambah atau mencari calon-calon baharu yang bersesuaian untuk ditempatkan di mana-mana kawasan," katanya.

Beliau menjelaskan perubahan calon di kawasan yang direbutkan itu berkemungkinan atas faktor kerusi asal ditandingi itu tidak membawa tuah atau gagal dipertahankan, justeru, pendekatan parti menggerakkan calon ke kawasan lain dianggap lebih berpotensi untuk memperoleh kemenangan.

Mengulas tindakan parti yang mengekalkan Ahli Parlimen asal di sesuatu kawasan yang sama dalam tempoh lama, Sivamurugan berkata seorang tokoh politik cenderung memilih berada di kawasan sama disebabkan faktor lokaliti dan kemampuan meneruskan perkhidmatannya.

"Ahli Parlimen itu sudah tahu setiap sudut bucu kawasan itu, mereka mempunyai isu minimum dalam kawasan serta parti dan yakin mampu terus bertahan sebagai wakil rakyat di kawasan sama.

"Namun, untuk seseorang itu berada di kawasan sama dalam tempoh lama mereka perlu memastikan tidak berlaku defisit kepercayaan, meningkatkan kemampuan serta kewibawaan mereka dan terus mempertahankan penghormatan diberikan oleh pengundi," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai contoh mula melangkah ke Parlimen di kerusi Bera apabila berjaya menewaskan Ab Wahab Ismail (PAS) dengan majoriti 4470 undi pada PRU11 dan seterusnya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera.

Pada 2008, beliau berjaya mengekalkan kerusinya daripada jatuh ke tangan PAS yang diwakili oleh Mazlan Aliman dengan majoriti 3821 undi pada PRU12 selain turut dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2008/2011.

Beliau sekali lagi berjaya mempertahankan parlimen Bera dari jatuh ke tangan pihak lawan pada PRU13 dan PRU14.

Sementara itu, Prof Madya Datuk Dr Baharuddin Aziz berkata walaupun pertukaran kerusi merupakan satu strategi popular, namun ia dilihat langkah tidak 'manis' atau tidak beretika.

Beliau berkata seseorang wakil rakyat perlu memegang jawatan selama sekurang-kurangnya dua penggal di kawasan yang dimenangi bagi memastikan agenda pembangunan kawasan itu terlaksana.

"Empat atau lima tahun (satu penggal) mungkin tak cukup, kalau kita minta report card mereka yang selalu lompat kerusi ni, rasanya hasilnya sifar, rakyat di kawasan pun tidak dapat rasa apa-apa hasil kejayaan mereka," katanya yang juga merupakan Felo Penyelidik Kanan Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur.

Beliau berkata parti perlu satu peraturan bertulis yang menentukan wakil rakyat perlu kekal bertanding satu kerusi sekurang-kurangnya dua penggal sebelum bertanding di kerusi lain pada pilihan raya seterusnya.

Ini bagi memastikan amanah yang diberikan rakyat kawasan berkenaan adalah bermakna serta memastikan janji yang ditabur ketika kempen dilunaskan.

Justeru katanya pertukaran kerusi yang dijadikan 'senjata politik' oleh sesetengah parti perlu dihentikan dan wakil rakyat perlu setia pada pengundi di satu-satu kawasan selagi diberi mandat berbakti di kawasan itu.



Berikut beberapa contoh Ahli Parlimen bertukar kerusi setakat PRU14 lalu:



1. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein



PRU9 (1995) - Tenggara

PRU10 (1999) - Tenggara

PRU11 (2004) - Sembrong

PRU12 (2008) - Sembrong

PRU13 (2013) - Sembrong

PRU14 (2018) - Sembrong



2. Datuk Seri Anwar Ibrahim

PRU6 (1982) - Permatang Pauh

PRU7 (1986) - Permatang Pauh

PRU8 (1990) - Permatang Pauh

PRU9 (1995) - Permatang Pauh

PRK (2008) - Permatang Pauh

PRU13 (2013) - Permatang Pauh

PRK (2018) - Port Dickson



3. Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

PRU10 (1999) - Permatang Pauh

PRU11 (2004) - Permatang Pauh

PRU12 (2008) - Permatang Pauh

PRK (2015) - Permatang Pauh

PRU14 (2018) - Pandan





4. Nurul Izzah Anwar

PRU12 (2008) - Lembah Pantai

PRU13 (2013) - Lembah Pantai

PRU14 (2018) - Permatang Pauh





5. Lim Kit Siang

PRU3 (1969) - Bandar Melaka

PRU4 (1974) - Bandar Melaka

PRU5 (1978) - Petaling

PRU6 (1982) - Kota Melaka

PRU7 (1986) - Tanjong

PRU8 (1990) - Tanjong

PRU9 (1995) - Tanjong

PRU10 (1999) - Bukit Bendera (tewas)

PRU11 (2004) - Ipoh Timor

PRU12 (2008) - Ipoh Timor

PRU13 (2013) - Gelang Patah

PRU14 (2018) - Iskandar Puteri





6. Lim Guan Eng

PRU7 (1986) - Kota Melaka

PRU8 (1990) - Kota Melaka

PRU9 (1995) - Kota Melaka

PRU12 (2008) - Bagan

PRU13 (2013) - Bagan

PRU14 (2018) - Bagan





7. Mohamad Sabu

PRU7 (1986) - Permatang Pauh (tewas)

PRU8 (1990) - Nilam Puri

PRU9 (1995) - Kubang Kerian

PRU10 (1999) - Kuala Kedah

PRU11 (2004) - Kuala Kedah (tewas)

PRU12 (2008) - Kuala Terengganu (tewas)

PRU13 (2013) - Pendang (tewas)

PRU14 (2018) - Kota Raja


  1. Tan Sri Abdul Hadi Awang



PRU5 (1978) - Marang (tewas)

PRU6 (1982) - Dungun (tewas)

PRU7 (1986) - Marang (tewas)

PRU8 (1990) - Marang

PRU9 (1995) - Marang

PRU10 (1999) - Marang

PRU11 (2004) - Marang (tewas)

PRU12 (2008) - Marang

PRU13 (2013) - Marang

PRU14 (2018) - Marang



10) Tun Mahathir Mohamad

PRU2 (1964) - Kota Setar Selatan

PRU3 (1969) - Kota Setar Selatan (tewas)

PRU4 (1974) - Kubang Pasu

PRU5 (1978) - Kubang Pasu

PRU6 (1982) - Kubang Pasu

PRU7 (1986) - Kubang Pasu

PRU8 (1990) - Kubang Pasu

PRU9 (1995) - Kubang Pasu

PRU10 (1999) - Kubang Pasu

PRU14 (2018) - Langkawi



-- BERNAMA