KUALA LUMPUR: UMNO hanya akan menang apabila melakukan sogokan wang kepada pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam masa sama, Dr Mahathir menyelar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa memetik kenyataannya tanpa memperincikan keseluruhan konteks.

"Zahid (Hamidi) kata, saya kata UMNO akan menang, tetapi dia tidak teruskan dengan apa yang menyusul kenyataan itu yang mana saya cuma kata UMNO akan menang kerana mereka akan sogok wang kepada pengundi.

"Jadi jika kali ini pengundi menolak wang daripada UMNO, UMNO tidak akan menang dan sebaliknya saya yakin pengundi sekarang sedar akan keburukan UMNO dan mereka tidak akan mengundi bagi pihak UMNO dan kenyataan saya ialah UMNO akan kalah," katanya dalam satu muat naik video di media sosial miliknya, pada Selasa.


Pada Isnin, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dilaporkan berkata, DrMahathir sepatutnya tahu majoriti orang Melayu kembali kepada UMNO kerana telah sedar kesilapan mereka lakukan pada PRU14.

Ahmad Zahid turut meminta seseorang menasihatkan Dr. Mahathir supaya berhenti melemparkan kata-kata yang memperlekehkan kejujuran dan kebijaksanaan orang Melayu.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), turut menekankan perjuangannya bukan untuk parti, tetapi untuk nasib dan masa depan orang Melayu.

"Kalau parti lari daripada dasar untuk memelihara orang Melayu, saya tidak sokong sebab itu saya keluar daripada UMNO kerana UMNO sudah menyeleweng," tegas Dr Mahathir.