GERIK: Pertikaian dalam kalangan ahli akar umbi UMNO Gerik yang dikatakan menolak calon luar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selesai selepas Datuk Asyraf Wajdi Dusuki disahkan bertanding di Parlimen berkenaan, pagi tadi.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Aznel Ibrahim berkata, pertikaian yang berlaku sebelum ini pada awalnya hanyalah pendirian disuarakan akar umbi berhubung perkara berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau menafikan wujud kekasaran yang berlaku sebagaimana didakwa segelintir pihak berkenaan video yang tular sebelum ini.

Katanya ia berlaku rentetan UMNO Gerik yang telah mencalonkan 13 nama kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk diputuskan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di parlimen itu.

“Semasa sesi Penamaan Calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berlangsung pagi tadi, lebih daripada 2,000 penyokong hadir termasuk semasa calon-calon memberi ucapan (selepas sesi itu).

“Jadi, tidak ada perkataan ‘boikot calon luar’ dari Gerik kerana kami patuh dan walak kepada keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti.

“Ahli UMNO dan BN Gerik tetap menerima apa sahaja keputusan oleh pucuk pimpinan, tanpa berbelah-bahagi, tanpa ada mahu sabotaj atau tanpa ada sebarang gangguan untuk menggagalkan calon yang telah diputuskan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses Penamaan Calon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini pada Sabtu.

[LAPOR LANGSUNG] Hari Penamaan Calon: Gelanggang PRU15 sudah dibuka

Aznel sebelum itu diminta mengulas berkenaan rakaman video tular memaparkan kekecohan yang dikaitkan dengan UMNO Gerik dengan didakwa ahli akar umbi parti menolak calon luar untuk bertanding di parlimen berkenaan pada PRU15.

Sebuah lagi video turut tular memaparkan segolongan individu mendakwa sebagai akar umbi parti itu bersama kain rentang tertulis 'menolak calon luar' selain menzahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan pucuk pimpinan BN meletakkan Asyraf Wajdi yang merupakan calon luar di Gerik.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Gerik, Salbiah Mohamed berkata hasil keputusan Mesyuarat Perwakilan UMNO yang berlangsung sebelum ini memutuskan untuk menolak calon luar bagi dipertandingkan di Gerik.

Walau bagaimanapun katanya, kini ahli di semua bahagian akur dengan keputusan pucuk pimpinan yang menamakan Ketua Pemuda BN itu sebagai calon.

“Tidak salah untuk kita menyatakan pendirian yang telah ditetapkan akar umbi. Namun, apabila pucuk pimpinan telah membuat keputusan, hari ini semua aman damai.

“Kalau ada sedikit (pergeseran) itu adalah asam garam untuk menghadapi PRU15. Namun saya ingat, kita ketepikan perkara yang sudah lepas dan harap ia berakhir. Fokus kita kini adalah untuk memenangkan BN di Gerik,” katanya.

Asyraf Wajdi disahkan bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Gerik mewakili parti itu pada PRU15 selepas diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Gerik, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria selepas selesai Proses Penamaan Calon SPR pagi tadi.

Asyraf Wajdi berdepan saingan tiga penjuru selepas dua calon lain iaitu,  Ahmad Tarmizi Mohd Jam daripada calon Pakatan Harapan (PH) dan Fathul Huzir Ayob calon daripada Perikatan Nasional (PN) turut diumumkan akan bertanding di kerusi sama.