TAMBUN: UMNO telah mengenal pasti bakal calon berpotensi untuk diketengahkan bagi merampas kembali kerusi Parlimen Tambun dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Dua kerusi DUN dalam Parlimen Tambun itu ialah Hulu Kinta dan Manjoi.

Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, bakal-bakal calon itu adalah dalam kalangan anak tempatan dan bukannya calon ‘payung terjun’.

“Cadangan nama calon kerusi-kerusi pilihan raya yang ditandingi oleh UMNO perlu diputuskan di dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian.

“Jadi saya berpendapat tidak ada isu calon luar atau calon payung terjun.

"Segalanya akan berada di dalam kawasan Tambun, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Tambun di Dewan Orang Ramai Taman Meru, di sini, semalam.

Pada PRU14 lalu, Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan ketiga-tiga kerusi Parlimen Tambun, DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi yang turut menyaksikan buat pertama kalinya parti itu hilang tampuk pemerintahan negara kepada Pakatan Harapan (PH).

Aminuddin yang juga Setiausaha UMNO Perak berkata, senario yang berlaku sekarang jauh berbeza dengan ketika PRU14 kerana rakyat telah melihat perlunya sebuah kerajaan yang stabil.

“Orang telah menilai bagaimana PH (perintah) selama 22 bulan, orang juga telah menilai Perikatan Nasional (PN).

"Akhirnya kita serahkan kepada rakyat untuk menilai dan memberi mandat yang baik kepada sebuah parti yang mampu membawa kestabilan dan kemakmuran kepada mereka,” ujarnya.

Beliau menjangkakan Parlimen Tambun akan menyaksikan persaingan sengit kerana selain calon BN, penyandang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari PN dijangka akan berhadapan dengan beberapa calon lain seperti dari PH dan Putra di samping kemungkinan calon Pejuang.

Parlimen Tambun mempunyai antara pengundi paling ramai iaitu lebih 160,000 orang dengan DUN Manjoi mempunyai kira-kira 85,000 pengundi dan DUN Hulu Kinta sekitar 75,000 pengundi.