TANGGA BATU: UMNO Melaka sedia memberi laluan kepada calon MCA yang hampir pasti akan dipertaruhkan di Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Meskipun kerusi berkenaan sebelum ini merupakan kerusi tradisi UMNO, namun ujar Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, beliau yakin akar umbi UMNO di kawasan itu tidak teragak-agak untuk memberi sokongan penuh kepada calon daripada MCA.

“Kami telah sepakat menerima sebulat suara keputusan dibuat oleh BN untuk meletakkan calon MCA dalam Parlimen Tangga Batu ini kerana sebagai ahli parti dan pendukung parti, kami bersedia (bekerja) untuk sesiapa sahaja yang diarahkan pucuk pimpinan.

“Apa yang penting bagi kita bukan calon itu sendiri tetapi parti yang diberikan amanah untuk memenangi PRU ini bagi menyumbang kepada pembentukan kerajaan di pusat nanti,” katanya di sini.

Mengulas lanjut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, meskipun sebelum ini beliau disebut-sebut sebagai calon yang akan diketengahkan namun, beliau percaya parti mempunyai aturan yang lebih konkrit dalam soal pemilihan calon.

“Pada saya kerja yang dilakukan di parlimen ini bukan sahaja saya seorang tetapi semua rakan-rakan dalam kepimpinan UMNO bahagian ini yang mana kita bekerja bukan demi untuk meletakkan seseorang calon semata-mata tetapi kita ingin mengangkat parti itu sendiri.

“(Jadi) tidak timbul soal tidak puas hati kerana dalam mesyuarat baru-baru ini semua 70 ketua cawangan dalam Bahagian Tangga Batu ini sebulat suara untuk kita bekerja dan pastikan kemenangan BN,” katanya.

Tambahnya beliau yakin kerusi yang pernah terlepas kepada tangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu itu mampu dirampas semula oleh calon MCA yang akan dipertaruhkan meskipun peratusan pengundi Cina dikawasan itu hanya 24 peratus.

Pada PRU14 lalu, Parlimen Tangga Batu dimenangi calon PKR Rusnah Aluai yang menewaskan calon BN, Zali Mat Yasin dan calon Pas, Zulkifli Ismail dengan majoriti 4,659 undi.


Rusnah sekali lagi dinamakan untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang sebelum ini pertama kali dimenangi oleh gabungan PH.