KUALA KANGSAR: UMNO Perak tidak gusar sebaliknya bersedia untuk ‘bertempur’ di kerusi-kerusi yang akan berdepan dengan calon nama besar atau ‘heavyweight’ daripada pihak lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata ini kerana UMNO dan parti-parti komponen lain dalam BN di negeri ini diyakini mempunyai kekuatan tersendiri.

“Kita yakin bahawa kita mampu memenangi di kerusi-kerusi yang disebutkan itu (Parlimen Bagan Datuk dan Pasir Salak).

"Bahkan, bukan itu sahaja, InsyaAllah kita yakin di Parlimen Tambun dan di kerusi lain juga, BN akan memperoleh kemenangan.

“Jadi, kita tidak gusar dengan sesiapa calon ‘heavyweight’ sama ada daripada Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN). Kita bersedia bertempur pada hari pengundian nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI pada Karnival Orang Muda Sungai Siput di Karai, dekat sini, hari ini.

Mohd Zolkafly sebelum itu diminta mengulas berkenaan pengumuman PKR berhubung beberapa nama besar yang akan dicalonkan parti itu untuk bertanding di Perak pada PRU15.

Antaranya, anak kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar yang diumumkan bertanding di Parlimen Pasir Salak sementara bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin pula diletakkan di Parlimen Bagan Datuk.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly yang juga Ketua UMNO Sungai Siput berkata, pihaknya yakin mampu meraih undi daripada golongan muda.

Katanya, golongan berkenaan sudah semestinya akan memilih parti yang berpengalaman menerajui pentadbiran di peringkat negeri dan persekutuan, kerana ia mampu membawa kepada kestabilan.

Justeru, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang itu turut meminta agar pengundi muda memilih parti yang mampu membawa kemakmuran kepada masyarakat pasca PRU15 nanti.

“Walaupun mereka baru berumur 18 tahun, saya penuh yakin bahawa anak-anak muda ini mempunyai pandangan yang jauh. Apa yang mereka akan pilih itulah akan menjadi masa depan mereka.

“Jadi, kita berharap mereka tidak salah pilih, kerana kalau salah pilih, maka masa depan mereka agak gelap.

"Jadi, pilihlah kerajaan yang boleh menstabilkan ekonomi, politik dan memakmurkan serta mensejahterakan rakyat,” jelas beliau.