KUALA LUMPUR: Semua wakil rakyat seharusnya berasa gusar dengan dapatan kajian yang menunjukkan majoriti rakyat tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, parti politik juga tidak boleh lepas tangan dan harus mengambil tanggungjawab terhadap prestasi wakil mereka, khususnya dalam memilih calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

"Saya berpendapat ini perkara serius dan perlu diambil berat wakil rakyat, termasuk juga parti-parti politik yang akan meletakkan calon untuk bertanding dalam PRU15.

"Statistik dalam kaji selidik ini tidak memberikan gambaran yang baik kepada mereka yang telah dipilih sebagai wakil rakyat. Apabila seseorang calon yang bertanding di satu pilihan raya, ia merupakan satu tanggungjawab dan beliau harus faham apakah jangkaan daripada rakyat.

"Beliau dipilih untuk menjalankan tugas bagi memastikan suara rakyat terbela dan mereka dapat menyediakan segala kemudahan serta sesi dialog, di samping boleh mendengar rungutan daripada rakyat," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Astro AWANI Malaysia Memilih, pada Isnin.

PRU15 | 67% tidak puas hati dengan perkhidmatan wakil rakyat

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!

Tambah beliau, wakil rakyat seharusnya bersedia berkhidmat sepenuh masa kepada rakyat dan menjalankan tugas sebagai penggubal undang-undang yang adil dan saksama.

"Kedua-dua ini perkara asas, dari dahulu hingga sekarang, tidak ada perubahan itulah tugas sebagai seorang wakil rakyat. Pertama, menjadi suara dan pembela bagi mengatasi isu-isu yang dihadapi di samping memberi perkhidmatan yang terbaik dan berkesan dalam membantu segala permasalahan dalam kawasan parlimen ataupun yang dibawa kepada perhatian beliau.

"Kedua, bertindak sebagai penggubal undang-undang sebab ini aspek penting kerana sebagai ahli parlimen, banyak undang-undang untuk dibahaskan dan adalah menjadi tanggungjawab setiap wakil rakyat untuk teliti dan bahaskan serta beri pandangan bagi mendapatkan satu cara terbaik, adil dan saksama kepada semua untuk rakyat," katanya lagi.

Dalam kaji selidik Suara Malaysia yang dijalankan Astro AWANI, 67 peratus dari 1,800 responden mengakui tidak berpuas hati dengan khidmat wakil rakyat di kawasan mereka.