IPOH: Rakyat akan berasa kecewa sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dibebaskan selepas didapati bersalah oleh mahkamah.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui memang ada pihak yang berkuasa untuk berbuat demikian.

"Langkah pertama ialah Perdana Menteri mesti kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong permohonan untuk membebaskan Najib dan Agong boleh buat apa juga keputusan.

"Tetapi, kalau kita tanya orang ramai, kalau Najib dibebaskan, setelah mencuri berbilion-bilion ringgit, menipu, bercakap bohong, orang macam ini dilepas, dibebas, akan kecewalah rakyat," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui selepas Perasmian Jelajah Sayang Bangsa di Jalan Pasir Putih, di sini, malam tadi.

Beliau diminta mengulas dakwaan kononnya Najib ingin dibebaskan dan boleh bertanding dalam pilihan raya.

Pada Khamis, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.