KUALA LUMPUR: Pas didakwa masih mengamalkan politik 'mengalih tiang gol' apabila terus mempertikaikan masa pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) berbanding membahaskan kandungan laporan itu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim, berkata tindakan pembangkang itu menunjukkan mereka tidak berminat meneliti dapatan laporan berkenaan, sebaliknya hanya mempersoalkan mengapa ia didedahkan pada waktu ini.
Beliau berkata, meskipun laporan itu didedahkan lebih awal, pembangkang tetap akan mencari alasan lain untuk mempertikaikannya.
"Kalau pun didedahkan lebih awal, mungkin mereka akan kata tergesa-gesa. Begitulah wajah dan kualiti Pas sebagai pembangkang hari ini apabila matlamatnya bukan tabayyun atau mencari kebenaran, tetapi memastikan mereka sentiasa membangkang. Parah sungguh.
"Sebenarnya, bila waktu yang dianggap sesuai Pasir Mas (Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari), selepas PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah? Sebelum PRN Johor? Selepas selesai PRN Negeri Sembilan?
"Atau mungkin sebelum PRN Sarawak? Atau selepas PRN Melaka?Mungkin tunggu sahaja selesai PRU16? Hakikatnya, bila pun laporan ini didedahkan, watak seperti beliau tidak akan berpuas hati. Kita buka satu medan, mereka akan segera membuka medan yang lain," katanya dalam kenyataan di Facebooknya di sini, pada Jumaat.
Kamil berkata, tindakan susulan terhadap dapatan RCI sudah pun dilaksanakan, termasuk penahanan beberapa individu yang dipercayai terbabit, manakala proses pendakwaan akan diteruskan terhadap mereka yang dikenal pasti.
Katanya lagi, kerajaan juga membuka ruang kepada semua Ahli Parlimen untuk membahaskan laporan berkenaan di Dewan Rakyat.
Beliau berharap Ahmad Fadhli, akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu dengan mengemukakan hujah yang benar-benar berkualiti.
Mengulas isu masa pendedahan laporan itu, Kamil berkata kerajaan sebelum ini sudah menjelaskan pengurusan Tabung Haji (TH) sendiri memohon supaya laporan berkenaan tidak didedahkan sejurus selepas RCI selesai bagi mengelakkan implikasi terhadap keyakinan pendeposit serta kestabilan institusi berkenaan.
Beliau berkata Ahmad Fadhli tidak seharusnya memainkan sentimen dan emosi rakyat sekiranya tidak dapat menyanggah fakta yang dibentangkan.
Kamil turut mendakwa Pas mengubah pendirian terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila parti itu mempunyai kepentingan politik.
"Kalau pun Pasir Mas tidak boleh menyanggah fakta, jangan pula bermain dengan sentimen dan emosi rakyat," ujarya.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas dilapor mempertikaikan tindakan kerajaan yang hanya mendedahkan laporan RCI Tabung Haji ketika ini, selain mempersoalkan kelewatan siasatan terhadap pihak yang dikaitkan dengan penemuan dalam laporan berkenaan.