Skip to main content

Politik

RCI Tabung Haji: Pembangkang 'walkout' satu wayang, aksi politik memalukan - MUDA

RTM
Ainie Haziqah berkata, keputusan meninggalkan Dewan Rakyat susulan ketidakhadiran Perdana Menteri bukan satu alasan yang kukuh, malah mencerminkan sikap sambil lewa sebagai wakil rakyat.
Advertisement

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan tindakan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan sesi perbahasan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebagai aksi politik dangkal.

Setiausaha Agung MUDA, Ainie Haziqah berkata, keputusan keluar daripada Dewan Rakyat susulan ketidakhadiran Perdana Menteri bukan satu alasan yang kukuh, malah mencerminkan sikap sambil lewa sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, isu Tabung Haji bukan perkara kecil kerana ia membabitkan wang dan amanah rakyat, khususnya lebih 10 juta pendeposit yang selama ini meletakkan kepercayaan kepada institusi berkenaan untuk menguruskan simpanan mereka.

"Sekiranya pembangkang benar-benar mahu memperjuangkan kepentingan rakyat, mereka sepatutnya kekal berada di Dewan Rakyat dan menggunakan ruang Parlimen untuk mendapatkan jawapan berkaitan isu berkenaan.

"Antara persoalan wajar dibangkitkan termasuk punca berlakunya masalah, pihak yang perlu dipertanggungjawabkan, bagaimana kerugian berlaku serta tindakan wajar diambil susulan dapatan RCI.

“Bukan dengan meninggalkan Dewan. Ini wayang yang sangat memalukan, terutamanya daripada mereka yang selama ini lantang bercakap tentang kepentingan umat dan amanah rakyat.

"Dalam isu sebesar Tabung Haji, rakyat tidak perlukan aksi politik. Rakyat perlukan jawapan, akauntabiliti dan tindakan," kata Ainie menerusi satu kenyataan, di sini, pada Selasa.

Image
Setiausaha Agung MUDA, Ainie Haziqah -- FB Ainie Haziqah Shafii
Ainie Haziqah berkata, keputusan keluar daripada Dewan Rakyat susulan ketidakhadiran Perdana Menteri bukan satu alasan yang kukuh.

Dalam pada itu, beliau berkata Ahli Parlimen MUDA memilih untuk kekal di Dewan Rakyat dan mengambil bahagian dalam perbahasan memandangkan ia tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan setiap wakil rakyat.

Ainie pada masa sama menghargai tindakan Ahli Parlimen Bersatu yang turut kekal di Dewan Rakyat bagi menggunakan ruang yang ada untuk berbahas serta menuntut jawapan.

Menurutnya, fungsi sebenar seorang Ahli Parlimen adalah untuk hadir, berbahas, mempersoalkan kerajaan serta menuntut tanggungjawab dan tindakan terhadap perkara yang menyentuh kepentingan rakyat.

“Jangan protes kerajaan yang tidak mahu menjawab dengan meninggalkan tempat di mana kerajaan sepatutnya dipaksa menjawab,” katanya.

Justeru, katanya, dalam isu Tabung Haji, rakyat berhak mendapat lebih daripada sekadar tindakan 'walkout', dan perkara perlu diangkat adalah penjelasan serta akauntabiliti terhadap perkara dibangkitkan. 

Must Watch Video

Advertisement