SHAH ALAM: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menawarkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu bagi penggal 2023-2026.

Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, keputusan diambil bagi menegakkan tiga visi utama iaitu khidmat, keutamaan dan kesetiaan kepada parti tersebut.

“Saya tampil melangkah dalam pemilihan jawatan Naib Presiden ini dengan misi yang jelas untuk menawarkan 3K-Khidmat, Keupayaan dan Kesetiaan,” katanya dalam ciapan di Twitter pada Sabtu.

Jawatan Naib Presiden Umno menjadi tumpuan selepas jawatan presiden dan timbalannya tidak dipertandingkan.

Reezal bakal berhadapan dengan saingan daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau turut mendapat tentangan daripada bekas Menteri Besar Johor yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Penentuan jawatan itu akan dibuat ketika mesyuarat perwakilan bahagian di seluruh negara yang akan berlangsung pada 18 Mac depan.

- Sinar Harian