POLITIK
RMK13: Pelbagai projek berterusan bukti sokongan Persekutuan kepada Kelantan - MB

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) berbual dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada perasmian Program Rancakkan MADANI Negeri Kelantan hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Peruntukan pelbagai projek pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kepada Kelantan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menunjukkan sokongan berterusan kerajaan Persekutuan kepada negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Ringkasan AI
- Sokongan Padu Kerajaan Persekutuan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan pelbagai projek pembangunan strategik untuk Kelantan dalam RMK13, termasuk loji rawatan air, industri pembaikan kapal, dan pengoperasian ECRL.
- Projek Tambahan Yang Diharapkan: Kerajaan negeri mohon perhatian terhadap projek penting yang belum diluluskan seperti Empangan Sungai Lebir, Loji Kumbahan Serantau Tunjong, Zon Ekonomi Khas Rantau Panjang, LPT3 dan CPPC di Lojing.
- Komitmen Pembangunan Inklusif: Kerajaan Kelantan sambut baik pendekatan RMK13 yang menumpukan kepada negeri kurang membangun, dan tekankan pentingnya kerjasama erat antara pusat dan negeri demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
"Pelbagai projek besar telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di Kelantan seperti pembinaan loji rawatan air di Machang, pembangunan industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR), pengoperasian ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), pembangunan hab ekonomi biru, penaiktarafan pelabuhan Tok Bali serta pelaksanaan projek tebatan banjir di Sungai Golok," katanya pada perasmian Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) Kelantan 2025 di sini hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata perkara berkenaan adalah langkah signifikan dan disambut baik kerajaan Kelantan serta seluruh rakyat negeri itu.
Beliau berkata kerajaan Kelantan juga mengalu-alukan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memberikan tumpuan khusus kepada negeri yang dikategorikan sebagai kurang membangun agar mampu menangani ketidakseimbangan pembangunan.
Mohd Nassuruddin berkata Kelantan juga berharap Anwar yang juga Menteri Kewangan boleh memberi perhatian kepada beberapa projek senarai keutamaan negeri ini yang masih belum diluluskan, namun amat penting dari sudut keperluan pembangunan dan keselamatan rakyat.
Antara projek itu, katanya ialah pembinaan Empangan Sungai Lebir di Kuala Krai sebagai struktur mitigasi banjir, pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Tunjong, pembentukan Zon Ekonomi Khas Rantau Panjang, pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) serta pembinaan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) di Lojing bagi menjadikan Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan utama negara.
"Kami amat berharap kerajaan Persekutuan dapat memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap projek-projek ini dan memastikan peruntukan yang diperlukan dapat disalurkan dalam tempoh terdekat.
"Kita percaya hanya dengan kerjasama erat yang berterusan, disertai semangat saling memperkukuh antara pusat dan negeri, maka agenda pembangunan menyeluruh yang inklusif dan berimpak tinggi kepada rakyat dapat direalisasikan dengan jayanya," katanya.
Mohd Nassuruddin berkata penganjuran PMR 2025 di Kelantan diadakan dengan tersusun dan memberi pelbagai manfaat kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif yang diketengahkan selama tiga hari program itu berlangsung.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami