PAGOH: Perdana Menteri mempunyai hak mutlak dalam menentukan isu rombakan Kabinet yang sedang hangat disebut-sebut mutakhir ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menentukan hal berkenaan.

“Itu hak Perdana Menteri dia nak rombak (Kabinet) ataupun tidak, (kerana) kalau ada pun itu perancangan beliau.

“Tetapi biasalah dalam politik ini orang buat ramalan, jadi terserah kepada Allah dan Perdana Menteri untuk putuskan,” katanya ringkas.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di balairaya Kampung Jawa, Lenga di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas spekulasi kononnya tiga menteri termasuk dua Ahli Parlimen daripada Bersatu akan digugurkan daripada barisan Kabinet selepas gagal menunjukkan prestasi baik dalam pengurusan bencana banjir.

Antara tiga nama yang disebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Ismail Sabri dalam kenyataannya semalam bagaimanapun berkata, belum tiba masanya untuk membincangkan soal rombakan Kabinet ketika ini.

Sebaliknya. tegas Perdana Menteri, fokus utama kerajaan kini adalah dalam mempercepatkan bantuan kepada mangsa yang terjejas dengan bencana banjir dan tindakan lanjut berhubung situasi COVID-19.

“Belum sampai masanya dan nama-nama yang keluar itu dari dulu macam itu juga, jadi biarlah kita fokus kepada isu rakyat sebelum isu lain,” kata Ismail Sabri.