KUALA LUMPUR : Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dijangka akan diluluskan selepas dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.  

Penganalisis politik Prof Dr Wong Chin Huat menjelaskan, beliau yakin RUU itu akan melepasi 148 undi daripada Ahli Parlimen pelbagai parti politik.

"Saya rasa yakin bahawa ia akan diluluskan selepas perdebatan dalam sesi ini dan menjadi undang-undang pada September seperti yang dijanjikan oleh Menteri Undang-Undang iaitu Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaffar.

"Saya rasa kelulusannya sangat senang kerana langkah yang susah itu pun kita telah atasi. Untuk luluskan kita perlu 148 undi.

"Kita ada 90 undi PH (Pakatan Harapan), dan UMNO sukakan (RUU) ini, UMNO dan BN ada 42 undi.

"Undang-undang ini juga digerakkan GPS; GPS ada 18 undi lagi. Tambah semua ini, ia sudah melepasi 148 undi," katanya dalam wawancara program Agenda AWANI pada Isnin.

Sebanyak 13 RUU dijadual dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada mesyuarat kedua Dewan Rakyat penggal kelima Parlimen ke-14, yang bermula Isnin, dengan tumpuan terarah kepada RUU Perlembagaan (pindaan) (no. 3) 2022 dan mengenai peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti.

Sementara itu, Chin Huat berpendapat isu Ahli Parlimen dipecat oleh parti dan Ahli Parlimen yang melompat dari satu gabungan kepada gabungan parti lain perlu diberi tumpuan selepas RUU Antilompat Parti diluluskan.

Beliau menjelaskan, dua isu kontroversi itu perlu ditangani dengan memberi kuasa kepada pengundi untuk memecat wakil rakyat dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).
 
"Saya rasa ini merupakan langkah pertama kita yang betul. Selepas perdebatan, semua Ahli Parlimen perlu memberi sokongan penuh (pada RUU).

"(Isu) sama ada kita boleh lompat parti gabungan ke gabungan, dan kedua menyekat mereka yang dipecat oleh parti, perkara itu memerlukan satu mekanisme lain dengan memberi kuasa kepada pengundi untuk pecat wakil rakyat.

"Maksudnya sekarang, kita menggunakan kuasa undang-undang. Dua kes rumit itu perlu diselesaikan dengan memperkenal mekanisme memecat wakil rakyat dan recall (mengadakan pilihan raya kecil).

"Kalau rakyat rasa nak pecat (wakil rakyat) sebab keluar gabungan, maka rakyat boleh kutip tandatangan dan pecat wakil rakyat itu, maka pilihan raya kecil boleh diadakan," ujarnya lagi.