Skip to main content

Politik

RUU Pendanaan Politik: Dana awam kurangkan pergantungan parti kepada penderma – IDEAS

Sumber: PARLIMEN MALAYSIA
IDEAS berpandangan cadangan pembiayaan menggunakan dana kerajaan dapat mengurangkan kebergantungan parti politik terhadap penderma swasta. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM130 juta dana awam dicadangkan untuk diagihkan kepada parti politik yang layak menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.

Daripada jumlah itu, RM120 juta akan diagihkan berdasarkan peratusan undi yang diperoleh setiap parti dalam pilihan raya.

Baki RM10 juta pula akan diagihkan secara berkadar berdasarkan bilangan wakil rakyat wanita daripada parti politik yang layak.

Cadangan itu dikemukakan Kumpulan Rentas Parti Parlimen (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik dengan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bertindak sebagai sekretariatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, reformasi pendanaan politik sudah lama dibincangkan, namun masih belum diterjemahkan kepada undang-undang.

Image
Aira Azhari IDEAS
Lebih dua pertiga negara di seluruh dunia melaksanakan sekurang-kurangnya satu bentuk peruntukan pembiayaan awam kepada parti politik, ujar Aira.

“Reformasi pendanaan politik telah dibincangkan secara meluas, namun ia masih belum diterjemahkan kepada perundangan.

“Kami menggesa kerajaan supaya bergerak melangkaui perbincangan dan segera menggubal Akta Pendanaan Politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut IDEAS, pembiayaan menggunakan dana kerajaan dapat mengurangkan kebergantungan parti politik terhadap penderma swasta.

Ia juga dilihat lebih wajar berbanding amalan pihak swasta memberikan sumbangan politik untuk mendapatkan keuntungan, kontrak atau layanan tertentu.

Bagaimanapun, IDEAS mengakui pandangan masyarakat terhadap penggunaan wang kerajaan bagi membiayai parti politik masih bercampur.

Kira-kira separuh daripada responden kajian persepsi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) masih ragu-ragu terhadap pendekatan berkenaan.

"Lebih dua pertiga negara di seluruh dunia melaksanakan sekurang-kurangnya satu bentuk peruntukan pembiayaan awam kepada parti politik.

"Malaysia tidak kekurangan pengalaman antarabangsa yang boleh dijadikan rujukan dalam merangka model yang bersesuaian," katanya lagi.

Selain pembiayaan awam, RUU itu mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendanaan Politik sebagai badan kawal selia bebas.

Sebuah Jawatankuasa Parlimen yang dianggotai wakil pelbagai parti pula akan diberikan kuasa untuk memantau suruhanjaya berkenaan.

RUU itu turut mencadangkan senarai penderma yang dilarang, had sumbangan, pelaporan menyeluruh serta pendedahan mandatori maklumat pembiayaan politik kepada umum.


 

Must Watch Video

Advertisement