Barisan Nasional (BN) Sabah memberi jaminan akan mempertaruhkan 85 peratus muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, muka-muka baharu yang akan dipilih kelak terdiri daripada kalangan belia.

Menurut Bung Moktar, muka-muka baharu yang bakal dipilih sebagai calon dalam PRN Sabah juga terdiri daripada mereka yang belum pernah bertanding sebelum ini.

"Saya telah beri jaminan dari awal, daripada 100 peratus, 85 peratus muka baharu, muka baharu ini daripada orang yang belum pernah bertanding, anak-anak muda dan kita akan gabungkan.

"Hanya 15 peratus sahaja saya lihat yang sudah pernah bertanding sama ada yang menang atau sudah pernah kalah, kalau rakyat mahu kita akan pertandingkan," katanya kepada portal SuaraTV.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, BN sedia maklum bahawa anak-anak muda memainkan perana penting dalam pentadbiran negara.

"Hari ini kita faham anak-anak muda bukan seperti dulu lagi, mereka bukan hanya pemimpin pelapis tetapi harus dijadikan pemimpin negeri atau negara.

"Jadi kita masukkan dalam perjanjian baharu atau new deal supaya anak-anak muda ada keyakinan kepada UMNO dan BN.

"Menerusi perjanjian baharu ini, kita akan buat, kalau kita tidak buat dalam lima tahun ini rakyat boleh tendang kami keluar," katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 September untuk hari penamaan calon, manakala hari pengundian pula pada 26 September.