Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua ahli menghormati keputusan pelantikan Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk mengetuai jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Jelas Zahid yang juga Presiden UMNO, adalah munasabah untuk mana-mana pengerusi badan perhubungan UMNO atau BN negeri, dilantik mengetuai jentera pilihan raya di negeri terbabit.

“Benar perbezaan pendapat harus diraikan tetapi kita harus menghormati pelantikan yang ditentukan. Ia adalah lantikan yang dibuat oleh saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

“Apa yang berlaku di Sabah masih boleh dimurnikan dan pada pendapat saya jangan beri kekuatan pada musuh politik kita dan mereka tentu mahu melihat perpecahan dalam kalangan kita,” katanya kepada pemberita di sini, sebentar tadi.

Malam tadi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dalam satu sidang media menyifatkan keputusan meletakkan Moktar mengetuai jentera bagi menghadapi PRN Sabah, adalah langkah 'bunuh diri'.

Justeru, beliau menggesa Ahmad Zahid untuk mengkaji semula keputusan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah itu.